suria

Kejayaan konsert 40 tahun, cadangan gelaran Biduanita Negara buat Sheila Majid cetus perdebatan.. Ada cakap tak layak

Sheila berjaya memukau 9,000 peminat di Axiata Arena, Bukit Jalil.

SUSULAN kejayaan konsert 40 Tahun Sheila Majid yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Sabtu, terdapat peminat mencadangkan agar penyanyi itu diberi gelaran Biduanita Negara. 

Menerusi perkongsian seorang pengguna Threads dikenali sebagai Reez Kamarul, dia menyifatkan Sheila sebagai penyanyi luar biasa yang masih bertenaga dan menghiburkan peminat walaupun sudah mencecah usia 60 tahun.

"Satu-satunya ulasan yang saya ingin berikan untuk konsert Sheila Majid 40 Years ialah beliau sememangnya seorang penyanyi yang luar biasa, berbakat besar dan satu-satunya Ratu Jazz Malaysia bergelar legenda.

Peminat menyifatkan Sheila layak menerima gelaran Biduanita Negara.

Peminat menyifatkan Sheila layak menerima gelaran Biduanita Negara.

"Pada usia 60 tahun, vokalnya masih mantap dan beliau sangat bertenaga ketika membuat persembahan. Sheila sepatutnya diiktiraf sebagai Biduanita Negara," katanya.

Dalam masa sama, Reez Kamarul turut menyarankan kerajaan mempertimbangkan penganugerahan gelaran itu kepada Sheila, memandangkan beliau telah menabur bakti dalam industri muzik selama lebih empat dekad.

"40 tahun bukanlah tempoh yang singkat, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk menganugerahkan gelaran tersebut kepadanya," ujarnya. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Isu sudah selesai, tiada keperluan Sheila Majid ulas royalti lagu ‘Sinaran’

ARTIKEL BERKAITAN: Sheila Majid hadiahkan ‘Moving On’ sempena 40 tahun dalam industri

Bagaimanapun cadangan itu menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen, termasuk ada yang berpendapat gelaran Biduanita Negara seharusnya diberikan kepada penyanyi yang menguasai lagu-lagu irama Malaysia, bukan hanya genre jazz. 

"Biduanita Negara? Kalau boleh menyanyi lagu irama Malaysia dan tradisional dengan baik macam Biduanita Negara sebelum ini, bolehlah dipertimbangkan. 

"Beranganlah. Menyanyi ulang Sinaran Sinaran Sinaran (lagu) next! Berangan sampai mampu sajalah.

“Maaf tak layak.

“Dengan tak pernah mengangkat irama tradisional Melayu, album dan lagu pun keluar 10 tahun sekali, tiba-tiba buat konsert 40 tahun terus rasa layak dapat Biduanita Negara... Sumpah kelakar,” tulis netizen.

Cadangan gelaran Biduanita Negara menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial.

Cadangan gelaran Biduanita Negara menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial.

Meskipun terdapat pihak yang tidak bersetuju gelaran itu diberikan kepada Sheila, namun ada yang menyokong agar penyanyi itu diangkat sebagai Budianita Negara atas pencapaian yang diraih selama ini. 

Konsert Sheila Majid: 40 Years In Music pada Sabtu menyaksikan 9,000 peminat membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil.

Selama hampir tiga jam persembahan, Sheila mendendangkan 25 buah lagu termasuk Ku Mohon, Dia, Warna, Sinaran dan Antara Anyer dan Jakarta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain