PENYANYI Izzrin Irfan meluahkan rasa bangga apabila berjaya menggenggam Master Eksekutif dalam bidang Pengurusan Projek selepas dua tahun mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Lebih menggembirakan buat Izzrin atau Muhammad Izzrin Irfan, 24, detik bersejarah itu turut dikongsi bersama oleh bapanya sendiri, Datuk Mohd Ismail yang juga menuntut dalam bidang sama.
"Dua tahun lepas saya dan ayah sama-sama mendaftar untuk sambung belajar. Syukur kami sama-sama berjaya tamatkan pengajian.

Ibu Izzrin meraikan kejayaan anak dan suaminya.
"Memang rasa seronok dapat kongsi perjalanan ini. Kami belajar dengan cara mengikuti kelas secara atas talian bersama, melakukan tugasan bersama dan akhirnya meraikan konvokesyen," katanya kepada mStar.
Izzrin dan bapanya menerima pengiktirafan mereka di Majlis Konvokesyen UMPSA ke-20 dalam sesi yang berlangsung pada 10 November lalu.
Bercakap lanjut, kata penyanyi ini, dia banyak berkongsi ilmu dengan bapanya yang juga dianggap sebagai mentor dalam bidang pengurusan.
ARTIKEL BERKAITAN: Izzrin Irfan dituduh persenda kanak-kanak sebelum beri duit raya, mengaku sekadar ‘content’
ARTIKEL BERKAITAN: Kisah sahabat beri Izzrin Irfan idea cipta ‘Sakit Tiada Bererti’, harap jadi inspirasi buat penderita kesihatan mental
Master Eksekutif yang diperoleh Izzrin merupakan program pengajian bagi mereka yang berpengalaman dalam industri tertentu.
"Saya bermula daripada peringkat asas sebagai buruh tapak bina, belajar secara langsung daripada ayah tentang disiplin, kepimpinan dan tanggungjawab dalam dunia pembinaan sebenar.
"Berkat tunjuk ajarnya, saya kini turut memegang peranan sebagai pengarah bersama dalam syarikat yang sama," ujarnya.

Izzrin kini galas tanggungjawab besar dalam syarikat milik keluarga.
Dalam masa sama, Izzrin juga memberitahu dia tidak akan pernah meninggalkan dunia seni yang sudah diceburi sejak usia 18 tahun.
Baginya, pengurusan masa adalah penting agar dia dapat menjalankan tugas di syarikat milik keluarga selain memenuhi undangan persembahan.
"Walau sibuk dengan urusan di pejabat, saya tidak akan tinggalkan dunia seni. Jika ada masa lapang saya akan terima undangan menyanyi," jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


