PASANGAN selebriti, Azlan Komeng dan isteri, Nur Nilam Ortiz memperoleh perintah injunksi inter partes daripada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat terhadap pempengaruh Norsufia Johari berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.
Perintah tersebut disahkan oleh firma guaman Tetuan Kung, Yudhist, Anis, Rasyid Aziana & Co, yang mewakili pasangan tersebut.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut setelah meneliti hujahan dan dokumen yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.
Menerusi sebuah kenyataan kepada media, perintah itu melarang Norsufia, atau lebih dikenali sebagai Cik Pia, daripada mengeluarkan, menyiarkan atau menerbitkan sebarang kenyataan yang berpotensi memfitnah pasangan tersebut.

Nilam (kanan) dan suami memperoleh perintah injunksi terhadap Cik Pia (kiri).
Perintah ini berkuat kuasa sehingga penyelesaian penuh kes saman yang difailkan oleh pihak Nur Nilam dan Azlan.
Mengulas mengenai keputusan itu, Nur Nilam menyifatkannya sebagai satu langkah positif dalam usaha mereka menegakkan kebenaran serta melindungi reputasi daripada kenyataan tidak benar di ruang awam.
“Saya anggap ini permulaan yang baik dalam perjuangan kami mencari kebenaran.
ARTIKEL BERKAITAN: Setahun berehat, Azlan Komeng kembali terima tawaran lakonan... “Ingatkan orang dah lupa”
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Azlan Komeng hamil anak lelaki, bertahan demi zuriat
"Kami hanya mahu membersihkan nama dan meneruskan kehidupan dengan tenang. Semoga proses mahkamah berjalan lancar," katanya.
Pada Ogos lalu, Azlan dan Nilam memfailkan saman fitnah terhadap Cik Pia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Tindakan terbabit diambil selepas Cik Pia didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan provokasi di media sosial.

Nilam (kanan) menyifatkan keputusan diterima merupakan langkah positif dalam menegakkan kebenaran.
Menurut dokumen mahkamah, kenyataan yang dibuat oleh Cik Pia didakwa mengandungi fitnah, tuduhan melampau, provokatif, manipulasi dan buli siber yang menyebabkan Nilam mengalami tekanan emosi lebih-lebih lagi dalam keadaan hamil.
Sebelum itu, pada 1 Julai 2025, Cik Pia mewakili syarikat MSH Empire Resources nekad untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menghantar surat tuntutan (Letter of Demand) kepada Nilam dan Azlan yang menuntut permohonan maaf secara terbuka dan bayaran ganti rugi berjumlah RM1 juta dari mereka.
Menurut Cik Pia, dia dan syarikat terkesan dengan dakwaan pasangan terbabit yang sudah mencemar nama baik, memberi kesan langsung terhadap jualan produk dan reputasi perniagaan.
Tambahnya, syarikat tersebut sudah difitnah secara terbuka, dituduh menjual produk berbahaya dan reputasi syarikat dan sebagai usahawan diganggu dengan niat yang jelas untuk menjatuhkannya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


