ANGGOTA kumpulan Dolla, Sabronzo mendedahkan sebab di sebalik pemilihan Bali, Indonesia sebagai lokasi perkahwinannya bersama suami, Ryan Fieret.
Menurut Sabronzo atau Wan Sabrina Wan Rusli, 30, dia dan suaminya memang meminati destinasi percutian popular itu dan merasakan ia tempat paling sesuai untuk meraikan hari bahagia mereka.
"Apa yang boleh saya katakan, kami memang sukakan Bali. Kami suka ke sana. Kami ada melihat lokasi di sana juga sangat unik di tepi tebing laut.

Sabronzo kini bahagia bergelar isteri.
"Keluarga suami saya juga tidak pernah ke negara Asia, jadi kami rasa Bali merupakan lokasi terbaik untuk mengadakan majlis perkahwinan.
"Kami mahu memberi pengalaman terbaik buat semua tetamu yang hadir dan itu sangat penting untuk menjadikan majlis ini diingati oleh semua," katanya kepada mStar.
Sabronzo berkongsi perkara itu ketika ditemui di pelancaran lagu baharu Dolla, Question yang diadakan di The Campus Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Sabronzo bimbing suami tentang agama, hidup kini lebih bahagia... Kerjaya bersama Dolla tetap berjalan seperti biasa
ARTIKEL BERKAITAN: Sabronzo sah isteri kepada anggota utama kumpulan Dash Berlin
Mengulas lanjut berkenaan pernikahannya yang mengejutkan ramai peminat, Sabronzo memberitahu dia seorang yang bersifat privasi apabila menyentuh soal peribadi.
Sabrinzo lebih selesa untuk berkongsi berita gembira kepada orang ramai selepas mereka sah bergelar suami isteri.
"Saya agak privasi orangnya. Kalau bab peribadi seperti perkahwinan dan suami, saya lebih memilih untuk berkongsi berita baik (perkahwinan) sahaja.
Keluarga suami saya juga tidak pernah ke negara Asia, jadi kami rasa Bali merupakan lokasi terbaik.
SABRONZO
ANGGOTA KUMPULAN DOLLA
"Apabila masanya sudah sesuai untuk saya kongsikan, saya tetap akan berkongsi kepada semua," ujarnya.
Sementara itu, Sabronzo turut berkongsi pengalaman saling mencuba makanan budaya masing-masing memandangkan suaminya itu berasal dari Belanda.
"Saya rasa dia lebih suka makan makanan Malaysia. Dia suka makan nasi lemak jadi saya selalu masakkan untuk dia nasi lemak.
"Saya juga ada merasai makanan dari Belanda, saya suka sebab makanan mereka lebih sihat," katanya.

Sabronzo (kiri) bernikah pada September lalu.
Sabronzo sebelum ini memaklumkan dia sah bergelar isteri kepada Ryan pada September lalu dan mereka diraikan dalam majlis resepsi di Bali, Indonesia.
Foto tular acara perkahwinan di Bali itu bagaimanapun mendapat perhatian ramai sehingga menimbulkan tuduhan penyanyi berkenaan melangsungkan majlis kahwin mengikut budaya luar negara.
Pasangan ini mula berkenalan sekitar awal tahun 2023 selepas sama-sama terlibat dalam sebuah acara.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


