suria

[V] Sabronzo bimbing suami tentang agama, hidup kini lebih bahagia... Kerjaya bersama Dolla tetap berjalan seperti biasa

SELEPAS mendirikan rumah tangga, penyanyi Sabronzo tidak melihat perkahwinan sebagai satu halangan untuk terus aktif dalam dunia seni bersama kumpulan Dolla.

Malah kata Sabronzo, atau Wan Sabrina Wan Rusli, 30, suaminya, Ryan Fieret, memberi sokongan penuh dan semangat baharu untuk terus maju sebagai penghibur.

“Saya tak rasa perkahwinan ini menjejaskan kerjaya, malah ia membuatkan saya berasa lebih bersemangat.

Sabronzo tetap bersemangat untuk terus aktif menyanyi.

“Saya sentiasa fokus dan akan memberikan komitmen untuk mencapai segala sasaran bersama Dolla. Suami saya juga memberi motivasi untuk menjadi lebih baik memandangkan kami berada dalam bidang yang sama,” katanya kepada mStar.

Sabronzo berkongsi perkara itu ketika ditemui di pelancaran lagu baharu Dolla, Question yang diadakan di The Campus Ampang, Kuala Lumpur pada Khamis.

Berkongsi fasa hidup baharu sebagai isteri, dia akui kini lebih bahagia dan tenang di samping suami tercinta.

Meluahkan rasa syukur, Sabronzo juga tidak merasakan satu perubahan besar dalam kehidupan kini memandangkan kedua-dua mereka bekerja dalam bidang yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Sabronzo tersentuh hati terima doa, sudah nikah dua minggu sebelum resepsi di Bali

ARTIKEL BERKAITAN: Sabronzo sah isteri kepada anggota utama kumpulan Dash Berlin

“Alhamdulillah, kehidupan selepas berkahwin saya baik-baik sahaja. Saya gembira kerana telah berjumpa lelaki yang terbaik.

“Nak kata ada perbezaan banyak sangat selepas berkahwin, tidak juga kerana kami masing-masing memberikan fokus terhadap kerjaya kami. Cuma bezanya sekarang bila saya balik, saya ada teman untuk berbual," ujarnya.

Dalam masa sama, dia juga enggan kisah peribadi mereka terus menjadi perhatian ramai kerana mahu hidup lebih tenang tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.

Bercakap lanjut, Sabronzo juga banyak memberi bimbingan tentang agama kepada suaminya yang merupakan seorang mualaf.

Sabronzo dan suami akan saling membimbing.

“Perkara ini merupakan satu isu peribadi dan saya juga tak nak memberikan tekanan kepada sesiapa. Agama lama dia juga mengajar tentang keamanan dan ketenangan.

“Apa yang penting ialah cara saya mengajar suami tentang Islam. Selagi mana kehidupan kami dipenuhi dengan kebaikan dan cinta, insya-Allah semuanya akan okey,” katanya.

Sabronzo sebelum ini memaklumkan dia sah bergelar isteri kepada Ryan iaitu seorang DJ dari Belanda pada September lalu dan mereka diraikan dalam majlis resepsi di Bali, Indonesia.

Pasangan ini mula berkenalan sekitar awal tahun 2023 selepas sama-sama terlibat dalam sebuah acara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain