Kelibat wanita sebelum mengubah kedudukan cermin trafik hingga mengakibatkan kemalangan. -Gambar QQ.com
TINDAKAN seorang wanita yang terlalu taksub dengan seni dan ilmu feng shui mengundang masalah apabila perbuatannya mengubah kedudukan cermin trafik menjadi punca kemalangan di sebuah kawasan perumahan.Difahamkan penduduk mula menyedari tentang kekerapan kemalangan di satu selekoh tajam selepas cermin yang dipasang sejak 2012 sering dialihkan hingga menjejaskan penglihatan pemandu. Pihak pengurusan sudah beberapa kali membetulkan kedudukan cermin berkenaan, namun masalah tetap berulang sebelum siasatan mendapati seorang wanita yang tinggal berhadapan lokasi cermin terbabit menjadi dalang kejadian.Wanita itu dipercayai mengubah kedudukan cermin kerana beranggapan ia menjejaskan feng shui rumahnya.Insiden itu berlaku di sebuah kompleks kediaman di Shanghai di China.Menurut suami wanita yang dikenali sebagai Luo itu, isterinya sebelum ini mengalami masalah kesihatan dan nasib tidak baik sehingga mereka mendapatkan khidmat pakar feng shui.Pakar tersebut mendakwa kedudukan cermin trafik berkenaan menjadi punca kepada masalah dialami keluarga itu.Luo turut mendakwa cermin tersebut seolah-olah cermin penyingkap syaitan dalam mitologi China dan menyatakan mereka tidak selesa apabila ia menghala ke arah rumah mereka.Dia mendakwa cermin itu jarang digunakan oleh penduduk lain.Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan penduduk setempat yang menegaskan cermin itu amat penting bagi membantu pemandu melihat kenderaan dari arah bertentangan ketika melalui selekoh berbahaya.Dalam usaha menyelesaikan isu berkenaan, pihak pengurusan memasang satu lagi cermin di bahagian bertentangan jalan supaya kedua-dua arah trafik dapat dipantau tanpa menjejaskan kediaman pasangan itu.Namun, wanita berkenaan sekali lagi bertindak mengubah kedudukan kedua-dua cermin selepas keluarganya didakwa kembali ditimpa nasib malang.Susulan itu, jawatankuasa penduduk memanggil polis bagi memberi nasihat kepada pasangan terbabit pada 21 Januari lalu.Pihak pengurusan juga bertindak mengunci kedudukan cermin menggunakan simen bagi mengelakkan ia dialihkan lagi. -Agensi