suria

Kerap kerja lebih masa sejak naik pangkat, lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung

Ramai pekerja sanggup bekerja lebih masa demi mendapatkan kepercayaan majikan. -Gambar hiasan

SEORANG pekerja lelaki berusia 32 tahun masih menerima mesej tugasan daripada majikannya walaupun dia sudah meninggal dunia.

Kisah menyedihkan mengenai pengatur cara  dikenali sebagai Gao Guanghui itu tular selepas ia didedahkan oleh isterinya, Li.

Dakwa wanita warga China itu, suaminya meninggal dunia pada November tahun lalu selepas diserang sakit jantung akibat bebanan kerja berlebihan.

Menurut Li, Gao bangun awal pada hari itu sambil mengadu tidak sihat, namun masih perlu “menyelesaikan sedikit kerja”.

Tidak lama kemudian, keadaannya semakin teruk sebelum dia mengalami sawan dan tidak sedarkan diri dalam perjalanan ke hospital.

Pihak hospital kemudian mengesahkan kematian Gao pada petang hari yang sama. 

Li berkata, suaminya masih lagi menerima mesej arahan kerja daripada syarikatnya selepas lapan jam dia meninggal dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda maut selepas kerja 80 jam seminggu di kedai roti popular

Pada hari-hari sebelum kematiannya, Li berkata Gao biasanya pulang ke rumah selepas pukul 9.30 malam.

Katanya, keadaan itu menjadi kebiasaan selepas Gao dinaikkan pangkat sebagai ketua pasukan pada 2021. 

“Jika saya boleh memutar kembali masa, saya akan memaksanya berhenti kerja,” kata Li.

Menurut Li, suaminya juga menjalani kehidupan yang sukar sejak kecil.

Gao pernah mengutip sampah di jalanan untuk mendapatkan wang saku ketika zaman kanak-kanak.

Ketika melanjutkan pelajaran di sebuah kolej, dia bekerja sambilan bagi mengurangkan beban kewangan.

Pasangan itu tidak mempunyai cahaya mata.

Di China, syarikat teknologi terkenal dengan budaya kerja yang keras, termasuk amalan ‘996’, iaitu bekerja dari pukul 9 pagi hingga 9 malam, enam hari seminggu.

Walaupun undang-undang buruh China menetapkan pekerja tidak sepatutnya bekerja lebih lapan jam sehari dan 44 jam seminggu, peraturan itu didakwa tidak dikuatkuasakan dengan berkesan. -Agensi.

 

Artikel Lain