suria

Pemuda maut selepas kerja 80 jam seminggu di kedai roti popular

Antara aneka roti yang dijual di premis terbabit. -Korea Herrald

SEORANG pekerja berusia 26 tahun dilaporkan maut selepas bekerja hampir 80 jam seminggu di rangkaian kedai roti popular.

Berdasarkan laporan, pekerja berkenaan meninggal dunia pada Julai lalu, kira-kira 14 bulan selepas menyertai syarikat roti berkenaan pada Mei 2024.

Insiden dilaporkan berlaku di Korea Selatan.

Menurut Parti Keadilan (parti pembangkang), syarikat popular itu seharusnya bertanggungjawab atas kematian pekerja muda terbabit selain turut mendakwa mangsa telah bekerja antara 58 hingga 80 jam seminggu.

Difahamkan, sehari sebelum kematiannya, pekerja itu hadir ke tempat kerja seawal pukul 9 pagi dan pulang sebelum tengah malam. 

Lima hari sebelumnya pula, dia dilaporkan bekerja 21 jam tanpa rehat sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa kematiannya berpunca daripada kerja berlebihan yang melampau.

Sepanjang tempoh 14 bulan bekerja, mangsa telah dipindahkan beberapa kali, bermula dari Gangnam ke Suwon di Wilayah Gyeonggi dan kemudian ke Incheon apabila perlu menandatangani kontrak baharu.

Keluarga mangsa kini menuntut pampasan kemalangan industri, namun mendakwa syarikat pengendali kedai roti itu, enggan menyerahkan dokumen berkaitan waktu kerja mangsa. 

Permohonan pampasan difailkan pada 22 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Parti Keadilan turut memaklumkan bahawa syarikat terbabit menafikan dakwaan kerja berlebihan dan menegaskan rekod mereka menunjukkan waktu kerja yang berbeza daripada tuntutan keluarga.

Insiden tragis ini mencetuskan tekanan terhadap kerajaan dan pihak korporat agar memperketat undang-undang buruh, bagi mengelakkan kes serupa akibat budaya kerja ekstrem yang masih berleluasa di Korea Selatan. -Agensi

Artikel Lain