Dua beradik lelaki ini kembali ke TBQ Amal selepas dihalau saudara mereka. -Gambar Facebook Herman Sudil.
DUA beradik lelaki yang sebelum ini menjadi mangsa penderaan bapa kandung sekali lagi diuji apabila dihalau saudara sendiri sehingga terpaksa kembali mendapatkan perlindungan di rumah kebajikan.Pengasas Pusat Jagaan Pertubuhan Pusat Jagaan Tenang Bersama Qadar (TBQ) Amal, Herman Sudil berkata kehidupan mereka mula berubah selepas ibu bapa bercerai ketika masih kecil. Tambah duka, ibu mereka kemudiannya meninggal dunia.Sejak itu, dua beradik yang tidak didedahkan usia berkenaan berpindah-randah mengikut beberapa penjaga sebelum akhirnya tinggal bersama bapa kandung sendiri."Di situ mereka bukan dijaga tapi dipaksa bekerja. Jika tak ikut, mereka dipukul. Bukan sekali tapi sehingga satu tahap dimasukkan ke hospital selama hampir dua minggu sebab cedera teruk."Mereka dipukul bukan sebab nakal tapi sebab nak sekolah dan bapa kandung sendiri tak benarkan, nak mereka kerja tolong dia," katanya menerusi hantaran di Facebook.Susulan itu, pihak berkuasa akhirnya campur tangan sebelum membawa mereka keluar daripada persekitaran tersebut dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak TBQ Amal di Johor.Beberapa saudara dari negeri lain kemudian tampil menawarkan diri untuk menjaga mereka, sekali gus memberi harapan buat dua beradik itu untuk memulakan kehidupan lebih baik."Namun, tak lama mereka kemudian dihalau. Baju dicampak luar rumah apabila mereka balik dari sekolah."Dengan beg di tangan mereka keluar tanpa arah. Tak tahu nak ke mana. Dalam keadaan itu mereka hubungi TBQ Amal," katanya.Katanya lagi, mereka minta untuk balik ke Johor kerana TBQ adalah tempat paling selamat yang pernah mereka ada.“Kami belikan tiket bas dan mereka selamat tiba di Terminal Larkin sebelum dijemput warden kami,” katanya.