suria

Ramai tak sedar risiko guna pencukur sama berulang kali, lebih teruk siap kongsi dengan pasangan

Ramai individu tidak kisah menggunakan pencukur sama berulang kali. -Gambar hiasan AI

PENGGUNAAN pisau cukur yang sama secara berulang kali boleh membawa pelbagai risiko walaupun ia sering dianggap remeh oleh kebanyakan individu.

Bagi sesetengah orang, amalan ini dilakukan semata mata untuk berjimat memandangkan harga pisau pencukur mahal.

Lebih membimbangkan, ada yang berkongsi pencukur dengan pasangan tanpa menyedari risiko kesihatan di sebaliknya.

“Berkongsi pencukur adalah perkara yang sangat tidak digalakkan dari sudut pandangan pakar dermatologi,” kata Joyce Imahiyerobo-Ip, pakar dermatologi yang berpangkalan di Boston.

Menurutnya, walaupun proses mencukur dilakukan dengan lembut, ia tetap menyebabkan apa yang digambarkan sebagai “trauma ringan” pada kulit. 

Calar kecil dan luka halus daripada bilah pencukur boleh menjadi laluan masuk kepada bakteria, kulat atau virus yang berpotensi menyebabkan jangkitan. 

Pencukur juga boleh menjadi tempat pembiakan kuman kerana kebanyakan alat ini mempunyai beberapa bilah yang meningkatkan kawasan untuk mikroorganisma melekat, selain ramai pengguna tidak menukar bilah sekerap yang sepatutnya. 

Ramai tidak sedar kesan buruk berkongsi pencukur dengan pasangan. -Gambar hiasan AI

Tambahan pula, pencukur biasanya disimpan di bilik air yang lembap, iaitu persekitaran yang sangat sesuai untuk kuman membiak.

Jelasnya lagi, adalah tidak ideal apabila bakteria atau virus daripada individu lain masuk ke dalam kulit kita. 

Dalam kes jangkitan kulit biasa, bakteria boleh menyebabkan selulitis, sesetengah virus boleh mencetuskan ketuat, manakala kulat pula boleh menyebabkan jangkitan kulit yang tidak diingini.

Kesan sampingan paling biasa apabila menggunakan pencukur orang lain ialah folliculitis, iaitu keradangan pada folikel rambut. 

Ia boleh muncul sebagai benjolan kecil kemerahan atau radang seperti jerawat, menyebabkan kegatalan, rasa pedih atau tekstur kulit yang tidak sekata.

Selain itu, penggunaan pencukur yang tidak bersih atau sudah lama juga meningkatkan risiko luka kecil menjadi lebih teruk kerana kuman lebih mudah masuk ke kawasan kulit yang terbuka.

Oleh itu, penjagaan kebersihan alat pencukur serta mengelakkan perkongsian dengan orang lain sangat penting bagi mengurangkan risiko masalah kulit yang boleh dielakkan sejak awal lagi.

Artikel Lain