suria

Aksi bersahaja Ghea Indrawari buat penonton jatuh hati, impian hiburkan peminat Malaysia akhirnya tercapai

Ghea berjaya mencuri hati penonton di Kuala Lumpur.

PENYANYI Indonesia, Ghea Indrawari merealisasikan impiannya untuk bertemu peminat Malaysia apabila berjaya menganjurkan konsert solo istimewa Ghea Indrawari: Rasi Jiwa Live In Kuala Lumpur bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Pertama kali tampil dengan konsert penuh di Malaysia, Ghea membuktikan popularitinya bukan sekadar bersandarkan angka penstriman digital semata-mata, tetapi kekuatan sebenar penyanyi itu terletak pada keupayaannya menyampaikan emosi secara jujur di atas pentas.

Konsert anjuran Semangat Zaman Music & Entertainment itu berjaya menghimpunkan lebih 1,200 peminat setia atau dikenali sebagai ‘Ghealways’ dalam sebuah persembahan yang cukup intim, sederhana namun sarat dengan penghayatan.

Tanpa perlu produksi yang terlalu gah atau berlebihan, Ghea membuktikan kekuatannya terletak pada kejujuran emosi yang dibawakan di atas pentas.

Ghea menghiburkan 1,200 peminat di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert selama dua jam itu dimulakan dengan lagu Rasa Cinta Ini sebelum diteruskan dengan deretan karya popular seperti Malaikat dan Bucketlist. 

Suasana dewan sudah terasa cukup dekat apabila hampir keseluruhan penonton menyanyikan setiap bait lagu yang didendangkan.

Selain nyanyian merdu dan penuh emosi, Ghea juga dilihat bijak mengawal pentas persembahan apabila berinteraksi bersama penonton yang hadir.

Keramahan dan aksi manja Ghea ternyata membuatkan penonton rasa dekat, ditambah pula penyampaiannya yang sederhana tetapi penuh penghayatan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu dengar di TikTok, rupanya ini penyanyi ‘Jiwa Yang Bersedih’... Ghea Indrawari tak sangka viral sampai Malaysia

ARTIKEL BERKAITAN: Wali Band ubat rasa kecewa peminat, tak lupa doa buat Palestin

Vokalnya kekal stabil dan lunak sepanjang persembahan, manakala setiap lirik disampaikan dengan emosi yang nyata sehingga mudah menyentuh hati penonton.

Ghea bijak mengawal turun naik emosi persembahan dengan susunan lagu yang kemas dan seimbang. Selepas beberapa segmen melankolik, suasana kembali rancak menerusi lagu-lagu seperti Oh Tuhan!, 1000X, Tadi Malam dan Kamu Anggap Apa yang membuatkan seluruh dewan kembali bersorak dan bernyanyi lebih kuat.

Interaksi spontan Ghea bersama penonton juga menjadi antara kekuatan utama konsert malam itu. Keperibadiannya yang bersahaja menjadikan keseluruhan persembahan terasa cukup dekat, seolah-olah penonton sedang mendengar cerita daripada seorang teman lama.

Ghea popular menerusi lagu Jiwa Yang Bersedih.

Satu lagi kejutan istimewa malam itu ialah tayangan eksklusif lagu baharu berjudul Daun Daun. Walaupun tidak dipersembahkan secara langsung, karya tersebut tetap berjaya mencuri perhatian apabila seluruh dewan memberikan tumpuan penuh terhadap tayangan berkenaan.

Kemuncak sebenar konsert tentunya hadir ketika intro Teramini dan Jiwa Yang Bersedih mula dimainkan. Sorakan penonton terus bergema memenuhi dewan, malah ramai dilihat menyanyikan lagu tersebut dengan penuh emosi.

Untuk info, lagu Jiwa Yang Bersedih bukan sekadar lagu yang membantu menaikkan nama Ghea, tetapi menjadi karya yang mewakili ramai pendengar yang pernah melalui fasa kehilangan, tekanan dan kelelahan hidup. 

Sebelum menyampaikan lagu penutup Manusia Paling Bahagia, Ghea sempat meminta seluruh penonton berdiri bersama-sama, seolah-olah mengakhiri segala kisah duka sepanjang malam dengan sebuah penutup yang lebih ceria dan penuh harapan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain