suria

Marc Syahmie dipaksa masuk peti mayat, tak henti selawat dan zikir

Syahmie berpengalaman masuk ke dalam peti mayat.

DIMASUKKAN ke dalam peti mayat semasa penggambaran drama Bila Cinta Menjadi Dosa merupakan antara momen paling mencabar buat pelakon Marc Syahmie. 

Syahmie, 26, yang memegang watak Amar berkata pada mulanya dia terkejut apabila dimaklumkan  produksi menggunakan peti mayat yang masih digunakan pihak hospital dan bukannya prop penggambaran.

“Bila mula-mula dapat tahu ada babak dalam peti mayat, saya memang berdebar. Tambah saya diberitahu, sehari sebelum penggambaran peti mayat itu memang ada digunakan untuk mayat sebenar. 

“Saya bukan takut sebab ia peti mayat, tetapi kelemahan saya dari kecil memang takut tempat sempit dan gelap. Keadaan itu akan menyebabkan saya sesak nafas secara tiba-tiba,” katanya. 

Barisan pelakon Bila Cinta Menjadi Dosa, dari kiri: Sarimah, Marc dan Siti Elizad. 

Bukan itu sahaja, Syahmie memberitahu apa yang paling mencabar apabila dia perlu dimasukkan ke dalam beg plastik mayat berwarna putih sebelum diletakkan di dalam peti mayat berkenaan.

“Keadaan memang sangat mengerunkan untuk saya. Saya dimasukkan dalam beg plastik mayat warna putih, kena zip, kemudian diletakkan dalam peti mayat dan pintu ditutup.

“Bayangkan beberapa minit saya duduk seorang diri dalam keadaan sejuk, sempit dan gelap. Masa itu saya betul-betul rasa seperti mayat,” ujarnya.

Walaupun berdepan ketakutan, Syahmie berkata dia tetap memberanikan diri demi tanggungjawab sebagai pelakon.

ARTIKEL BERKAITAN: Marc Syahmie tolak persepsi rupa penentu kejayaan pelakon

ARTIKEL BERKAITAN: Diejek bukan lelaki normal lepas buang sebelah testis, Marc Syahmie tenang sebarkan kesedaran 

“Saya kena kawal pernafasan dan tenangkan diri. Ingatkan babak itu mudah, tapi sebenarnya perlukan keberanian dan kekuatan mental juga.

“Alhamdulillah saya berjaya lakukan. Ini pengalaman baru untuk saya sebagai pelakon dan bukan semua orang dapat rasa pengalaman seperti ini," ujarnya. 

Katanya lagi, babak tersebut turut memberi kesan mendalam terhadap dirinya sehingga membuatkan dia lebih menghargai kehidupan.

Saya dimasukkan dalam beg plastik mayat warna putih, kena zip, kemudian diletakkan dalam peti mayat dan pintu ditutup.

MARC SYAHMIE

PELAKON

“Sejujurnya banyak saya belajar dan insaf. Masa berlakon jadi mayat itu, terdetik juga dalam hati, kalau suatu hari nanti saya sudah tiada, mungkin beginilah keadaannya.

“Dalam peti itu saya banyak berselawat dan berzikir. Situasi memang sangat real. Bila saya dikeluarkan dan dengar pelakon lain menangis, walaupun mata terpejam saya boleh rasa suasana itu macam betul-betul berlaku meski sekadar lakonan,” katanya.

Syahmie bagaimanapun bersyukur kerana penggambaran babak berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian pelik.

“Setakat ini tiada apa-apa berlaku. Cuma pihak produksi ada nasihatkan saya mandi dan bersihkan diri untuk elak benda tidak baik ikut, tapi semua okay.

Marc sentiasa mahukan terbaik dalam lakonan.

“Bukan sekali ya, banyak kali juga saya keluar masuk dalam itu. Tapi saya bersyukur sebab akhirnya dapat atasi ketakutan yang saya ada sejak kecil,” katanya.

Dalam drama Bila Cinta Menjadi Dosa, Syahmie bergandingan dengan aktres Che Puan Sarimah Ibrahim yang memegang watak sebagai ibunya. 

Karya sebanyak 30 episod yang bersiaran di slot Lestary, TV3 itu bakal melabuhkan tirainya pada Sabtu.

Selain Syahmie dan Sarimah, drama tersebut turut dibintangi Zamarul Hisham, Jasmin Hamid, Siti Elizad, Alya Iman, Zairi Aziz, Nelissa Nizam dan Maria Farida.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain