SEBELUM berkecimpung dalam industri seni, aktor Marc Syahmie mengakui pernah beranggapan rupa paras dan fizikal merupakan faktor utama dalam menentukan kejayaan seseorang pelakon.
Syahmie atau Ahmad Syahmie Mahayudin, 26, menjelaskan tanggapan tersebut wujud kerana industri seni sering dikaitkan dengan penampilan luaran terutamanya bagi pendatang baharu yang melangkah masuk ke dunia lakonan.
Bagaimanapun, Syahmie menyedari pengalaman dan bakat merupakan elemen paling penting dalam membentuk seseorang pelakon menjadi lebih baik.

Syahmie mula berlakon sejak tahun 2022.
"Dulu saya sangka nak jadi pelakon ini bergantung kepada rupa dan fizikal, tetapi sebenarnya perlu ada bakat.
"Saya suka bila ada kedua-duanya. Sebenarnya tak kisah tentang rupa kerana kalau seseorang pelakon itu mempunyai bakat luar biasa, maka berilah peluang kepada mereka.
"Saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian saya dalam dunia lakonan. Saya akan bekerja lebih keras dan berusaha untuk belajar," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Diejek bukan lelaki normal lepas buang sebelah testis, Marc Syahmie tenang sebarkan kesedaran
ARTIKEL BERKAITAN: Marc Syahmie kini bebas kanser testis, mahu aktif berlakon semula
Berkongsi mengenai perjalanan kerjaya, Syahmie percaya setiap pelakon perlu bermula daripada bawah bagi membina pengalaman yang kukuh.
"Bagi saya, setiap orang akan bermula daripada bawah. Mungkin ada orang melalui jalan singkat tetapi untuk pengalaman yang baik saya percaya semuanya bermula daripada bawah.
"Apa yang saya nak tekankan pengalaman itu paling penting untuk bergelar seorang pelakon yang baik.
"Saya tak cakap saya seorang pelakon yang berpengalaman kerana setiap hari saya masih belajar," ujarnya.

Kerjaya Syahmie bermula di pentas peragaan.
Mengimbas langkah awal penglibatannya dalam dunia seni, Syahmie mendedahkan latar belakangnya bermula sebagai atlet sebelum beralih ke dunia peragaan.
"Dulu saya budak sukan, tak ada kena mengena dengan dunia hiburan. Saya masuk industri bermula dengan dunia peragaan.
"Saya mula menyertai KL Fashion Week untuk jenama tempatan dan daripada situ saya menambah kenalan sehinggalah diberi peluang masuk ke dunia seni," katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


