SELEPAS menjalani pembedahan membuang sel kanser pada bahagian testis kirinya pada November tahun lalu, pelakon Marc Syahmie mendedahkan dia sering menjadi bahan ejekan segelintir individu di sekelilingnya.
Syahmie atau nama sebenarnya Ahmad Syahmie Mahayudin, 26, berkata ada yang sanggup memperlekeh dengan mengatakan dia tidak lagi mampu hidup seperti lelaki normal.
“Mereka kata nanti bila saya kahwin isteri akan terkejut. Mereka ingat bila saya hilang satu, saya dah cacat.

Syahmi tenang dengan kata-kata negatif.
“Sebenarnya semua masih berfungsi macam biasa. Saya masih boleh dapat anak dan doktor sendiri sahkan keadaan saya normal,” katanya kepada mStar.
Jelas Syahmie, dia tidak menafikan kadangkala kata-kata tersebut boleh melukakan hati, namun memilih untuk bersikap positif.
Tambahnya, dia percaya keterbukaannya berkongsi pengalaman sebagai pesakit kanser mampu memberi kesedaran kepada kaum lelaki agar lebih peka terhadap kesihatan diri.
ARTIKEL BERKAITAN: Abai simptom selama setahun, pelakon Marc Syahmie hidap kanser testis pada usia 25 tahun - “Jika ada rasa pelik, pergilah buat pemeriksaan”
ARTIKEL BERKAITAN: Marc Syahmie kini bebas kanser testis, mahu aktif berlakon semula
“Saya anggap itu gurauan saja, tak terasa pun. Lagipun saya sendiri yang dedahkan mengenai keadaan kesihatan saya, jadi kenalah terima risiko itu.
“Niat saya cuma nak sebarkan kesedaran sebab kanser testis ini penyakit lelaki yang ramai tak tahu.
“Saya yakin selepas ini akan ada yang buat pemeriksaan bila tahu kisah saya. Kalau itu boleh bantu orang lain, saya gembira,” ujarnya.
Dalam masa sama, Syahmie menegaskan ejekan atau pandangan negatif orang sekeliling tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus hidup seperti biasa.

Keadaan Syahmie semasa pembedahan.
“Saya tak ambil benda itu sebagai sesuatu yang menjatuhkan kehidupan saya. Hidup saya berjalan macam biasa.
“Sampai sekarang pun masih ada yang mengejek, tapi saya dah bersedia dengan jawapan saya sendiri. Nak tutup mulut orang memang susah,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, pada Disember tahun lalu, Syahmie mendedahkan dia disahkan menghidap kanser testis namun kini telah sembuh sepenuhnya selepas menjalani rawatan dan pembedahan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


