BINTANG Talk To My Manager (TTMM), Hadie Elfardie bakal melebarkan sayap dalam bidang lakonan selepas dilamar oleh penerbit Jaja Ishak untuk membintangi sebuah filem pendek berjudul Antara Dua Darjat.
Hadie, 17, yang juga anak kepada penyanyi nasyid Allahyarham Suhaimi Saad berkata, sebelum menerima sesuatu tawaran dia akan berbincang dengan ibunya, Ina Naim selaku pengurus peribadi sebelum membuat sebarang keputusan.
“Saya dan ibu berbincang panjang sebelum saya ceburi bidang ini. Bila ditimbang-timbang, lebih banyak kebaikan yang boleh diperoleh, jadi saya cuba.

Hadie dan Qadejah digandingan bersama buat pertama kali.
“Walaupun hanya berjaya ke peringkat akhir dalam TTMM, saya bersyukur kerana ia membuka peluang untuk saya terus ke hadapan mencari rezeki,” katanya kepada mStar.
Menurut Hadie, meskipun minatnya lebih kepada bidang lakonan, namun dia bersyukur bakatnya lebih menyerlah dalam nyanyian ketika ini. .
“Saya memang suka berlakon, kadang-kadang di rumah pun saya berlakon dengan ibu.
"Tapi saya tahu nyanyian itu kekuatan saya. Jadi bila ada peluang berlakon, saya terima untuk mencuba,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ramai geng makcik-makcik ‘cair’ dengan Hadie
ARTIKEL BERKAITAN: Peminat ‘kenenkan’ Hadie, Audra... Ina Naim titip pesan pada anak - “Saya percaya dia”
Sementara itu, Ina yang juga bekas penyanyi dan pelakon berkata, dia tidak menyangka apabila anaknya itu dihujani pelbagai tawaran selepas menyertai program realiti itu.
“Syukur, selepas program itu tamat, ada beberapa rezeki yang datang. Saya sebagai pengurus sedang menyusun jadual Hadi.
"Antara tawaran yang saya terima daripada Jaja Ishak Channel. Dia datang pada waktu yang tepat dan dalam filem pendek itu Hadie akan digandingkan dengan Qadejah El Zahra atau Cess, anak kepada Datuk Seri Aliff Syukri.
"Ramai di TikTok yang minta Hadi berlakon, jadi kami fokus dulu ke arah itu. Tapi saya tak terima semua tawaran secara terburu-buru.
Rasa macam meneruskan legasi yang arwah tinggalkan.
HADIE
PENYANYI
"Saya nilai dulu setiap skrip dan produksi, supaya tiada babak bersentuhan atau adegan serta perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Saya akan pastikan setiap projek sesuai dengan usia dan imej Hadie," ujarnya.
Tambah Ina, dia berani untuk bekerjasama dengan Jaja kerana penerbit itu merupakan sahabat lama arwah suaminya.
“Saya kenal Jaja sudah lama kerana Jaja sahabat arwah Suhaimi di bangku sekolah, mereka memang rapat. Jadi bila dia tawarkan projek ini, saya rasa tenang sebab dia tahu batas kami dan cara kami bekerja.
"Arwah dulu pun sangat menghormati Jaja sebagai sahabat yang sentiasa menyokong. Jadi bila Hadie dapat peluang ini, rasa macam meneruskan legasi yang arwah tinggalkan,” katanya.

Dari kiri Jaja, Hadie dan Ina sudah lama berkenalan.
Sementara itu, penerbit Jaja Ishak berkata idea untuk menampilkan Hadie datang selepas melihat sambutan positif terhadapnya di media sosial.
“Kami lihat ramai yang suka dengan personaliti Hadi dan peserta lain dari program itu. Jadi saya ambil peluang untuk bekerjasama dengan dia dan Ina. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.
“Filem ini mengisahkan percintaan antara dua individu daripada latar belakang berbeza yang menghadapi tentangan keluarga. Ia sebuah kisah ringan tetapi menyentuh hati,” katanya.
Jaja turut memaklumkan bahawa filem pendek berjudul Antara Dua Darjat itu bakal ditayangkan di platform media sosial sebelum penghujung November ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


