suria

Kagum karya Syamsul Yusof, Jastis Arimba harap ada filem tentang Palestin

Jastis kagum dengan karya Syamsul.

SUTRADARA Indonesia, Jastis Arimba kagum dengan karya hebat yang dihasilkan oleh pengarah Syamsul Yusof. 

Jastis berkata, dia berharap Syamsul dapat menghasilkan karya yang bertemakan kemanusiaan sekali gus menyuarakan perjuangan rakyat Palestin. 

"Secara peribadi, saya sangat mengagumi Syamsul Yusof. Dia antara pengarah kegemaran dan saya menonton filem-filem arahannya seperti Munafik dan Mat Kilau. 

Jastis mahu lahirkan lebih banyak karya mengenai Gaza.

"Sebagai pengarah hebat di Malaysia, saya berharap dia mempunyai keprihatinan yang sama terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin dan akan menghasilkan filem yang menyuarakan perjuangan ini," katanya kepada mStar.

Jastis yang merupakan pengarah filem Hayya 3: Gaza berpendapat filem bukan sekadar medium hiburan semata namun turut menjadi saluran  dalam membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap isu sejagat.

Justeru dia berharap lebih ramai  penggiat seni tidak hanya di Indonesia mahupun Malaysia untuk terus menghasilkan karya yang menyuarakan penderitaan rakyat Palestin.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya perlukan wang, tapi tak mampu tipu diri” - Oki Setiana Dewi tolak tawaran produk diboikot

ARTIKEL BERKAITAN: Hubungan keluarga makin erat, Yusof Haslam gembira Syamsul kerap datang rumah

"Bagi saya, perjuangan Palestin ini ibarat larian maraton. Kita tidak boleh berhenti dan tidak boleh berasa letih. Semua orang mempunyai peranan masing-masing. 

"Ada yang menulis, melukis, menggubah lagu atau menghasilkan filem, semuanya boleh digunakan untuk menyampaikan mesej kemanusiaan," luahnya.

Dia juga berbangga apabila dapat berpeluang mengarahkan Hayya 3: Gaza kerana dapat menzahirkan sokongan terhadap perjuangan kemerdekaan rakyat Palestin.

"Dapat menghasilkan karya yang menyuarakan perjuangan rakyat Gaza merupakan satu kebanggaan, bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga buat keluarga saya. 

Barisan pelakon Hayya 3: Gaza.

"Semoga lebih ramai pengarah di rantau ini akan terus bersuara melalui karya mereka," ujarnya.

Filem terbitan Warna Pictures & 786 Productions yang diedarkan oleh Horizon Film Entertainment berkolaborasi bersama Cinta Gaza Malaysia itu bakal menjengah pawagam pada 30 Oktober ini.

Hayya 3: Gaza dibintangi Amna Shahab, Azamy Syauqi, Cut Syifa, Oki Setiana Dewi, Adhin Abdul Halim, Fauzi Baadila dan ramai lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain