suria

“Saya perlukan wang, tapi tak mampu tipu diri” - Oki Setiana Dewi tolak tawaran produk diboikot

Oki berulang kali ditawarkan harga mahal.

SEBAGAI figura Islam yang sangat dikenali ramai, pelakon dan pendakwah Indonesia, Oki Setiana Dewi sentiasa dibanjiri tawaran pekerjaan dengan bayaran tinggi daripada beberapa jenama yang kini termasuk dalam senarai boikot.

Oki, 36, berkata meskipun ditawarkan jumlah lumayan, namun dia tetap tegas menolak kerana enggan menggadaikan prinsip dan pendiriannya menyokong perjuangan rakyat Palestin.

"Sebenarnya, mereka sudah tahu saya berada di pihak yang menyokong Gaza. Namun, beberapa tawaran pekerjaan tetap datang kepada saya, malah ada yang menawarkan bayaran yang sangat tinggi. 

Oki tetap pendirian menyokong Palestin.

"Mungkin mereka melihat saya sebagai figura Islam dan dianggap sebagai satu kelebihan buat mereka sekiranya saya menerima," katanya kepada mStar.

Oki berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Hayya 3: Gaza yang berlangsung di Bukit Jalil.

Menurut Oki, pengalaman menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir membuatkan dia lebih memahami penderitaan rakyat Palestin yang berdepan pelbagai kesukaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu fokus menimba ilmu, Oki Setiana Dewi tak sangka sudah setahun menetap di Mesir

ARTIKEL BERKAITAN: Oki Setiana Dewi pindah Mesir, mahu sambung pengajian agama... “Awalnya suami tak setuju”

Katanya, walaupun dia memerlukan pendapatan untuk menampung kehidupan seharian, namun dia tidak sanggup berpura-pura demi wang.

“Sebagai manusia biasa, saya tentu perlukan wang untuk bayar yuran anak dan keperluan harian. Tapi saya tak boleh tipu diri sendiri.

"Saya tetap ingin menyokong perjuangan ini dengan cara saya walaupun kecil.  Saya hanya mampu melakukan apa yang termampu.

"Banyak pekerjaan terpaksa saya tolak, walaupun bayaran yang ditawarkan sangat lumayan. Saya hanya mampu berkata, 'maaf, saya tidak boleh'," ujarnya.

Oki bersama barisan pelakon dan orang belakang filem Hayya 3: Gaza.

Tambah Oki lagi, situasi itu bukan hanya menimpanya seorang, malah beberapa rakan artis lain turut berdepan perkara sama dan rela kehilangan pekerjaan demi mempertahankan pendirian.

“Kebanyakan tawaran datang daripada produk yang termasuk dalam senarai boikot. Mereka tetap berusaha tawarkan saya, bukan sekali dua tapi berkali-kali.

"Ramai juga artis lain yang terkesan dan kehilangan kerja kerana perkara ini,” kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain