PENERBIT Jaja Ishak menegaskan setiap penyanyi dan artis perlu memiliki tahap disiplin serta komitmen yang tinggi sekiranya mahu memastikan perjalanan karier seni terus kukuh dan relevan.
Menurut Jaja, pengalaman lalu banyak memberi pengajaran bahawa kejayaan dalam industri hiburan bukan hanya ditentukan oleh bakat dan populariti, sebaliknya bergantung kepada sikap, semangat kerja berpasukan dan kesungguhan dalam setiap tugasan termasuk promosi, latihan serta perhubungan awam (PR).
“Saya pernah berdepan situasi penyanyi yang enggan hadir ke promosi, malas ke sesi radio, malah menolak persembahan kecil.
“Daripada pengalaman itu, kita boleh tahu lebih awal sama ada seseorang penyanyi mampu pergi jauh atau sebaliknya.
Jaja (kiri) bersama Hadie dan ibunya Ina Naim untuk sebuah projek yang bakal diumumkan.
"Sebab itu saya tekankan, mana-mana artis di bawah syarikat saya perlu bersedia menjalani latihan vokal, mempelajari aspek PR dan menghormati terma serta syarat label.
“Kalau pihak label aturkan promosi, sesi bersama media atau pertemuan dengan rakan strategik mereka perlu ambil serius. Dunia hiburan bukan sekadar glamor, tetapi menuntut kerja keras dan disiplin,” katanya kepada mStar.
Sementara itu, Jaja kini merancang menerbitkan 12 lagu baharu tahun hadapan dengan memberi peluang kepada 12 penyanyi baharu atau profesional untuk diketengahkan dalam industri muzik tempatan.
“Tidak kiralah daripada golongan T20, M40 atau B40, malah penyanyi profesional, penyanyi meningkat naik ataupun penyanyi jalanan, semua boleh mencuba.
ARTIKEL BERKAITAN: Jaja Ishak memang pilih bulu, utama pelakon anak jati Pahang dalam drama terbitannya
ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit jangan ‘tutup mata’ isu artis dan kru ambil dadah, jejas reputasi dunia seni
“Apa yang penting mereka ada semangat, disiplin dan kualiti suara yang boleh dijual,” katanya.
Tambah Jaja, projek berkenaan juga menjadi sebahagian daripada usahanya memperluas pasaran karya anak tempatan ke peringkat antarabangsa termasuk Brunei, Singapura, Eropah dan Timur Tengah.
“Tahun depan projek drama saya sudah mencukupi. Jadi saya mahu tumpu kepada pengedaran drama ke luar negara dan pada masa sama menerbitkan lagu baharu.
“Beberapa lagu terbitan saya sebelum ini pernah tular di semua platform. Saya lihat muzik ini mungkin tak nampak besar, tapi ia boleh beri pulangan jangka panjang yang baik,” katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


