suria

Anak sulung Che Ta sah bertunang, kahwin 26 Jun tahun depan... Belum boleh kongsi wajah cinta hati Ammar Effendy

Majlis pertunangan anak Che Ta berlangsung di Shah Alam pada Sabtu lalu. Kredit foto @aslvn

PELAKON Rozita Che Wan memaklumkan anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy, 29, selamat melangsungkan pertunangan dengan wanita pilihan hati dikenali Auni Ikhwan,26, di Lantera Venue, Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu. 

Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata, majlis bertemakan warna pastel itu dianjurkan secara sederdaha dan ringkas dengan dihadiri kira-kira 500 tetamu.

Katanya lagi, jika tiada aral melintang Ammar dan bakal menantunya itu akan disatukan pada 26 Jun tahun depan.

“Rasa macam baru semalam saya melahirkan dia (Ammar) selepas menempuh hidup berumah tangga hingga bergelar ibu tunggal. Boleh kata, dia banyak melihat suka duka saya menjalani kehidupan.

“Menjadi anak sulung hingga bergelar abang kepada dua adiknya, dia umpama pelindung kepada saya.

Ammar dan Auni dijangka melangsungkan perkahwinan pada Jun tahun depan. Kredit foto @aslvn

"Kini, momen untuk dia pula memulakan kehidupan sendiri bergelar tunangan dan seterusnya diijab kabul bersama bakal isteri kelak.

“Insya-Allah, semoga segala yang dirancang akan dipermudahkan. Keluarga kedua-dua belah pihak juga sepakat untuk tidak membiarkan mereka terlalu lama dalam fasa pertunangan,” katanya.

Menurut Che Ta, selepas anaknya meluahkan hasrat untuk bertunang dia antara individu yang paling sibuk melakukan persiapan untuk majlis tersebut.

“Daripada urusan tempah pakaian, dulang pertunangan hingga ke lokasi majlis saya ambil tahu dan lunaskan apa yang perlu

"Namun setiap input serta cadangan baik dari Ammar dan keluarga tunangnya tetap diutamakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Che Ta didakwa sudah bertunang, identiti bakal isteri kekal rahsia

ARTIKEL BERKAITAN: Tak boleh jual rupa sahaja, Che Ta mahu Aaisyah mahir di dapur... “Nanti suami lapar tengah malam mesti kena masak”

“Permintaan keluarga sebelah sana juga dipenuhi termasuklah untuk tidak lagi berkongsi wajah tunangnya terlebih dahulu,” katanya.

Ditanya mengenai adakah Ammar akan terus menetap di rumah agamnya di Kota Damansara selepas mendirikan rumah tangga, Che Ta berkata, dia tidak pernah melarang.

“Masih terlalu awal untuk cakap hal itu. Tapi saya dan suami okay sahaja kalau Ammar dan Auni nak menetap sekali di rumah selepas berkahwin.

“Kalau Ammar dan Auni okay, saya pun tak keberatan. Bertambah meriahlah nanti rumah itu.

"Macam sekarang adik lelaki saya yang kini bertugas sebagai pemandu peribadi pun tinggal bersama.

Majlis pertunangan putera sulung Che Ta dihadiri kira-kira 500 tetamu. Kredit foto @aslvn

“Jujur saya terbuka hal ini. Lagipun Ammar dan Auni masih dalam fasa awal pekerjaan mereka. Tapi jika sebaliknya pun, saya hormati privasi mereka,” katanya.

Untuk rekod, Ammar kini menyandang tugas sebagai pegawai di sebuah premis bank, manakala Auni bekerja di sebuah syarikat dalam bidang pemasaran.

Che Ta pernah mendirikan rumah tangga dengan Azuar Effendy Zulkaply pada 1995 dan berpisah pada 2003.

Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai dua cahaya mata iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra.

Pada 2013, Che Ta mendirikan rumah tangga dengan Zain Saidin dan memiliki seorang anak perempuan iaitu Aaisyah yang kini berusia 11 tahun.

Artikel Lain