PASANGAN selebriti, Fattah Amin dan Amira Othman memilih untuk hidup tenang dan fokus kepada perkara positif selepas selamat bergelar suami isteri pada 14 September lalu.
Amira berkata, dia enggan melayan sebarang kata-kata negatif yang dilemparkan segelintir pihak berhubung hubungan serta pernikahan mereka.
“Kami tak baca komen negatif di media sosial. Bagi saya, itu pendapat masing-masing dan tak semua orang akan suka. Apa yang penting, kami tak buat jahat dengan sesiapa dan tak dengki dengan orang lain.

Amira pilih mahu hidup tenang dan positif sahaja.
“Malah kami doakan supaya mereka yang tak gembira akan turut diberi kebahagiaan. Kami tak terlalu ambil pusing tentang komen luar, sebab kami hanya mahu hidup dengan aman dan damai.
“Hidup ini bukan untuk puaskan hati manusia. Kami ada urusan lain, dan kami ingin hidup tenang tanpa perlu melayan perkara yang tak perlu,” katanya.
Pasangan itu ditemui mStar pada majlis resepsi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Melawati, Kuala Lumpur pada malam Ahad.
Sementara itu, Fattah meluahkan rasa syukur apabila majlis persandingan yang dihadiri ahli keluarga dan teman terdekat berjalan lancar dan dipermudahkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Konon nak buat video sedih ‘tunang’ dah kahwin… Erma Fatima sebak lepas tengok Fattah, Amira bersanding
ARTIKEL BERKAITAN: Fattah Amin, Amira Othman doa individu nak boikot diberi hidayah… “Niat mereka hanya nak hadir majlis kahwin, erat silaturahim”
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Walaupun agak penat kerana majlis diadakan berturut-turut, tapi sebenarnya rasa lebih seronok daripada letih.
“Saya anggap semua ini rezeki, dikelilingi oleh orang yang baik-baik yang datang meraikan kami,” ujarnya.
Tambah Fattah, dia dan Amira bakal mengadakan sebuah lagi majlis resepsi bagi meraikan peminat yang tidak putus memberikan sokongan dan kasih sayang.
Ditanya mengenai perkahwinan mereka yang dilabel sebagai ‘wedding of the year’, Fattah berkata, niat utama mengadakan empat majlis hanya untuk berikan yang terbaik buat keluarga dan tetamu.

Kehidupan Fattah dan Amira selepas berkahwin mencuri perhatian netizen.
“Kami gembira apabila orang cakap begitu. Sebenarnya kami hanya mahu berikan yang terbaik untuk keluarga dan tetamu yang hadir. Harap semua orang gembira,” katanya.
Majlis resepsi Fattah dan Amira semalam dimeriahkan dengan persembahan istimewa daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Aina Abdul serta penyanyi Indonesia, Cakra Khan.
Fattah dan Amira selamat diijabkabulkan dalam majlis pernikahan di sebuah resort di Sepang pada 14 September lalu.
Kemudian majlis resepsi pertama diadakan dengan penuh gilang-gemilang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor pada minggu lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


