PENYANYI Siti Saerah meluahkan rasa bangga apabila anak lelakinya, Ahmad Dayyan diberi peluang menyanyikan lagu Negaraku di hadapan ribuan penonton di Litar Antarabangsa Sepang sempena perlumbaan MotoGP Malaysia 2025, pada Ahad.
Walaupun tidak berkesempatan untuk hadir menyaksikan persembahan itu secara langsung, Saerah atau Siti Nursairah Tarudin, 42, berkata detik tersebut amat bermakna buat dirinya sebagai seorang ibu.
“Sebagai seorang ibu, saya sangat bangga, terharu dan sebak melihat anak saya menyanyikan lagu Negaraku yang disaksikan penonton dari seluruh dunia.

Pencapaian Amad (tengah) sekarang membuatkan Saerah sebagai ibu sangat bangga.
“Saya sendiri tidak menyangka apa yang telah dicapai oleh Amad. Ini semua adalah rezeki daripada Allah.
"Kita tidak tahu bagaimana rezeki selepas ini, tetapi yang pasti ini adalah rezekinya,” katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.
Ditanya mengenai pandangan seorang individu yang berpendapat penyanyi berpengalaman lebih sesuai diundang untuk acara sebesar itu, Saerah memilih untuk berlapang dada dan tidak berkecil hati.
“Biasalah, kita semua manusia biasa dan tidak semua orang akan suka, pasti ada yang tidak suka.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Saerah kongsi keadaan anak sebelum persembahan, netizen dakwa nampak makhluk bertenggek di bahu Amad
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Amad didakwa kurang sopan, Siti Saerah mohon maaf... “Populariti buat dia agak terkejut”
“Saya tidak berkecil hati atau terasa apa-apa kerana masing-masing mempunyai hak untuk memberi pandangan dan komen.
“Apabila ada yang berkata lebih baik undang penyanyi berpengalaman, saya terima dengan hati terbuka. Semua itu saya letakkan sebagai ketentuan dan rezeki daripada Allah,” ujarnya.
Tambah Saerah, dia percaya setiap orang mempunyai rezeki dan peluang masing-masing yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
“Bagi saya, sesiapa pun boleh mendapat tawaran seperti Amad walaupun bukan penyanyi profesional. Itu tetap rezekinya untuk diberi peluang menyanyi di hadapan pemain motosikal dari seluruh dunia.

Komen individu yang tidak senang dengan rezeki diperoleh Amad.
“Saya tiada rasa terkilan. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kepada Allah. Terima kasih atas segala rezeki dan nikmat-Nya,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Dayyan atau mesra disapa Amad, 13, mencuri perhatian netizen selepas berjaya mengetuai nyanyian lagu Negaraku di acara berprestij itu.
Persembahan penuh semangat yang ditunjukkan Amad menerima pujian ramai, termasuk peminat yang kagum dengan bakat serta keyakinan dirinya di usia muda.
Bagaimanapun, terdapat individu yang cuba memperlekehkan pemilihan Amad dengan beranggapan lebih baik pihak penganjur menjemput penyanyi berpengalaman memandangkan ia merupakan acara bertaraf antarabangsa dan berprestij.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


