PELAKON Diana Danielle memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai status hubungannya susulan dia memuat naik video di Instastory bersama seorang lelaki yang didakwa sebagai kekasih.
Menurut Diana, atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 34, dia lebih selesa menyimpan hal peribadi untuk tatapan sendiri.
“Saya tak nak letak apa-apa status sama ada seseorang itu teman lelaki ataupun tidak.
“Nanti-nanti saya akan umumkan kalau sudah tiba waktu saya nak berkahwin. Setakat ini, apa yang saya kongsikan biarlah setakat itu sahaja,” katanya kepada mStar.

Diana lebih selesa untuk mengunci mulut.
Diana berkongsi perkara itu ketika ditemui pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat Signature yang berlangsung di Rumah Hope Children’s, Petaling Jaya, Selangor, pada petang Selasa.
Dalam pada itu, Diana menegaskan dia tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri hanya kerana persepsi dan tanggapan masyarakat terhadap kehidupan peribadinya.
Malah, aktres itu mengakui kini berada pada fasa lebih matang dan meminta orang ramai mendoakan kebahagiaannya.
“Saya pun dah besar, bukanlah anak remaja yang baru nak berkawan dan kenal hati budi.
ARTIKEL BERKAITAN: “Mungkin ada hubungan yang tak begitu baik, jadi saya nak cuba perbetulkan” - Diana Danielle
ARTIKEL BERKAITAN: Diana Danielle lebih suka anak-anak berhubung terus dengan Farid Kamil
“Pada masa ini, saya rasa sangat gembira. Doakan semoga saya juga dapat mencari kebahagiaan saya pada masa depan nanti,” ujarnya.
Ditanya mengenai tekanan daripada orang sekeliling berkaitan soal jodoh, Diana berkata perkara itu tidak pernah membebankan dirinya.
“Saya tak pernah dapat tekanan bila orang tanya bila nak kahwin, sebaliknya saya selalu dengar orang cakap jangan kahwin.
“Ramai berkata sebegitu. Bukan saya minta nasihat, tetapi itu yang saya dengar. Namun, perkara itu tidak penting pun,” katanya.
Sebelum ini, timbul dakwaan Diana sedang hangat bercinta selepas dilihat keluar bersama seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah.
Mereka dikatakan berjalan sambil berpegangan tangan dan masing-masing mengenakan pakaian sukan, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.

Diana mohon orang ramai mendoakan kebahagiaannya.
Difahamkan juga, lelaki berkulit sawo matang itu bukanlah individu daripada kalangan industri seni.
Untuk rekod, Diana pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Farid Kamil pada 3 November 2012.
Mereka dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Pasangan itu kemudiannya bercerai pada 10 Ogos 2023 selepas berdepan masalah rumah tangga sebelum sepakat untuk rujuk dalam tempoh idah.
Namun, pada 24 Mac lalu, mereka sah bercerai buat kali kedua selepas Diana memfailkan cerai pada 4 November tahun lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


