MEMASUKI penghujung 2025, pelakon dan penyanyi Diana Danielle ingin menutup lembaran tahun ini dengan semangat baharu, bukan sahaja dalam kerjaya, tetapi juga kehidupan peribadi.
Diana, 33, berkata fokusnya ketika ini adalah memperbaiki diri dan memperbetulkan hubungan dengan manusia sebelum melangkah ke tahun baharu.
“Saya nak jadi insan yang lebih baik. Bila kita dah sampai ke hujung tahun, mungkin ada hubungan yang tak begitu baik. Jadi saya nak cuba perbetulkan,” katanya.
Diana berkata demikian sempena majlis sambutan ulang tahun ke-50 Lee Swee Kiat Group Berhad (LSK) di MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Diana berazam untuk menghabiskan lebih banyak masa bersama anak-anaknya.
Ditanya mengenai azam tahun baharu yang ingin dicapai pada 2026, Diana ingin menebus masa yang kurang bersama anak-anaknya.
“Tahun 2026 saya nak lebih fokus kepada anak-anak sebab tahun ini saya agak sibuk. Saya nak bantu mereka capai impian masing-masing.
“Selain itu, saya ada tiga filem yang bakal keluar. Saya harap semua filem ini box office. Malah saya juga bakal keluar dengan single baharu dan harapnya lagu itu akan digemari ramai.
“Saya juga nak jadi anak perempuan, ibu, kawan, jiran yang baik. Semoga Allah makbulkan,” luahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: “Zaman saya ke KLCC pun dah seronok” - Diana Danielle terkedu lawatan sekolah anak ke Switzerland
ARTIKEL BERKAITAN: Diana Danielle sedang usaha jadi lebih baik, tak pelik wanita tidak bertudung solat
Berkongsi mengenai rutin kehidupan sebagai wanita bekerjaya, Diana menegaskan tidur berkualiti adalah antara aspek paling penting dalam menjaga kesihatan fizikal dan mental.
Malah sebagai duta jenama tilam premium Napure, Diana menjelaskan bahawa pemilihan tilam yang tepat memberi kesan besar kepada kesihatan.
“Kualiti tilam yang bagus memberi sokongan kepada badan. Memandangkan saya gemar tidur mengiring, jadi tilam dan bantal yang salah boleh menyebabkan bahagian bahu atau tengkuk terasa sakit,” katanya.

Diana (kanan) bersama duta Napure, Amber Chia dan Pengarah Urusan LSK, Datuk Eric Lee Kong Sim.
Dalam pada itu, sambutan ulang tahun ke-50 LSK berlangsung dalam suasana meriah apabila Diana tampil membuat persembahan sebelum membantu mengendalikan sesi cabutan bertuah ‘Spend & Win’.
Kempen tersebut menjadi kemuncak sambutan selepas berlangsung sejak Mac lalu dan berjaya mengumpulkan lebih 1,800 penyertaan daripada pelanggan yang membuat pembelian minimum RM3,000.
LSK turut mencatat beberapa pencapaian besar sepanjang lima dekad, termasuk penyenaraian di Bursa Malaysia, beberapa pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records serta pensijilan Global Organic Latex Standard bagi produk lateks organiknya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


