suria

Kenang budi seorang sahabat, Ajak kunjungi gerai lempeng Tauke… Siap bawa meja makan baharu

Ajak (kiri) memberi sokongan dan bantuan buat sahabatnya, Tauke.

ATAS nama persahabatan, pelawak dan penyampai radio, Ajak hadir memberi sokongan kepada rakannya iaitu Tauke Jambu yang kini membuka perniagaan gerai menjual lempeng.

Ajak atau Mohd Hanaffi Razak, 39, menganggap kunjungan tersebut bukan sekadar sokongan, tetapi sebagai tanda mengenang budi dan kebaikan yang pernah dicurahkan kepadanya suatu ketika dahulu.

Menurut Ajak, hubungan persahabatan mereka terjalin bukan kerana pertalian darah, sebaliknya dibina atas dasar keikhlasan dan budi yang tidak ternilai.

“Bukan semua saudara kena sedarah, kadang-kadang kita jadi saudara kerana budi. Semoga Jambu yang kau tanam ini akan berbuah manis suatu hari nanti. Sama-sama sokong sahabat (Tauke) kita ini.

“Aku doakan kau terus berjaya, insya-Allah, dengan kerjaya baharu kau,” katanya.

Ajak (kiri) membuat kejutan berkunjung ke gerai lempeng milik Tauke.

Ajak berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Selasa.

Dalam hantaran berkenaan, Ajak turut memuat naik video membawa beberapa buah meja dan kerusi yang dipercayai untuk menggantikan barangan gerai Tauke yang telah dicuri baru-baru ini.

Ajak juga meluahkan penghargaan mendalam terhadap Tauke yang disifatkan banyak membantunya pada awal pembabitannya dalam industri hiburan.

“Tauke Jambu, terima kasih dari hati yang dalam. Waktu aku masih bertatih, belum tentu arah dan belum jadi siapa-siapa, kaulah orang yang menghulur tangan tanpa berkira.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam meja gerai lempeng dicuri, Tauke Jambu doa penyangak jadi kaya

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Pelanggan tegur harga sambal udang cekik darah, Ajak Shiro kekal tenang... “Dalam masakan itu ada juga petai”

“Budi yang kau tanam waktu itu bukan kecil nilainya, malah menjadi tempat aku berpaut, menjadi teduh waktu panas dan menjadi payung waktu hujan,” ujarnya.

Sementara itu, Tauke Jambu turut membalas penghargaan tersebut dengan kata-kata penuh emosi, mengakui dirinya tersentuh melihat keikhlasan sokongan sahabatnya itu.

“Audio yang dia buat aku tenyeh mata yang tiba-tiba pedih (sedih), teringat… Walaupun kita guru, kira mengajar, tetapi pelajaran sebenar bukan datang daripada seorang guru.

“Semoga Allah memperluaskan rezeki untuk kau sekeluarga dan semua yang berjuang melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Ajak menggantikan meja dan kerusi gerai Tauke yang hilang dicuri.

Pada 10 Disember lalu, Tauke atau Zamatul Amri Zakaria, 49, berdepan ujian apabila enam meja di gerai lempeng miliknya di Pasir Penambang, Kuala Selangor, hilang dan dipercayai dicuri individu tidak dikenali.

Kata Tauke, dia terkejut apabila mendapati kesemua meja makan di premis kecilnya itu ‘lesap’ begitu sahaja.

Sebelum ini, perniagaan kecil-kecilan Tauke pernah tular apabila gerai lempeng RM1 yang diusahakannya mendapat perhatian ramai.

Usaha Tauke berniaga secara sederhana dengan menawarkan harga mampu milik turut menerima banyak pujian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain