KISAH rumah tangga selebriti sekali lagi menjadi tumpuan sepanjang tahun 2025 apabila satu demi satu berita perceraian menghiasi dunia hiburan tempatan.
Setiap kisah yang berlaku mempunyai 'drama' rumah tangga tersendiri hingga membawa kepada perceraian yang tidak disangka membabitkan pelakon, pelawak, penyanyi dan pemain bola sepak terkenal.
Sementara itu, tiga selebriti sedang menanti perceraian termasuk pasangan selebriti Uqasha Senrose dan aktor Kamal Adli, aktes Linda Hashim dan Beego serta penyanyi Datuk Nora Ariffin.
Tiada siapa yang memilih jalan perpisahan apatah lagi terpaksa naik turun mahkamah.
Berikut merupakan rangkuman penuh kemelut rumah tangga selebriti yang menggemparkan sepanjang tahun ini.
1. Farid Kamil dan Diana Danielle

Diana (kiri) dan Farid bercerai untuk kali kedua.
Kemelut rumah tangga pasangan pelakon Farid Kamil dan Diana Danielle sekali lagi berakhir dengan perceraian.
Farid atau Farid Kamil Zahari, 43, melafazkan talak satu terhadap Diana di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.
Ini merupakan kali kedua Farid melafazkan cerai terhadap Diana.
Pada 10 Ogos 2023, Farid dan Diana bercerai talak satu namun mereka memilih untuk kembali rujuk selepas 21 hari berpisah.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun.
2. Shuk Sahar

Kemelut rumah tangga Shuk dan isteri masih belum berakhir.
Pada April lalu, pelawak Shuk Sahar didakwa melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya iaitu Fara Salleh menerusi panggilan telefon.
Menurut Fara, suaminya melafazkan cerai itu di Thailand dan tidak mengetahui tujuan Shuk melakukan tindakan tersebut di negara berkenaan.
Pun begitu, proses perceraian mereka dilaporkan masih belum disahkan oleh mahkamah syariah kerana dakwa Fara suaminya itu gagal hadir bagi proses siasatan pengesahan penceraian.
Lebih kontroversi apabila Fara memberitahu urusan yang masih tertangguh itu menyebabkan proses pendaftaran sijil kelahiran anak mereka tidak dapat diselesaikan.
Untuk rekod, Shuk bernikah dengan Fara pada November 2023 di Thailand.
Bagaimanapun lafaz cerai yang didakwa dilafazkan Shuk pada April lalu belum diputuskan oleh mahkamah.
Shuk dan Fara baharu sahaja dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Elaine Nada yang dilahirkan pada 26 Jun lalu.
3. Hafiz Suip

Hafiz tidak lagi menyembunyikan status rumah tangganya.
Selepas berteka-teki berhubung status rumah tangga, penyanyi Hafiz Suip akhirnya mengesahkan dia sudah bercerai talak satu dengan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor pada 29 Mei lalu.
Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, berkata buat masa ini dia memberi hak penjagaan kepada bekas isteri kerana menganggap ibu merupakan tempat perlindungan terbaik bagi anak-anak. .
Hafiz berkahwin dengan Nureffy pada 14 Mei 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri, 8, dan Muhammad Alkaf Zayne, 5 tahun.
4. Farisha Irwayu

Farisha dan Tuan Asmawi didakwa bercerai kerana orang ketiga.
Tiada angin tiada ribut, pelakon era 90-an Farisha Irwayu mendedahkan sudah bercerai talak satu dengan pendakwah Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar pada 13 Mei lalu.
Kongsi Farisha atau Norayu Ghazali, 56, mereka bercerai secara 'fast track' di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas persetujuan bersama.
Farisha turut membuat pendedahan mengejutkan dengan mengucapkan selamat pengantin baharu buat Tuan Asmawi, sekali gus memberi gambaran bekas suaminya itu mempunyai hubungan bersama wanita lain.
Jelasnya, wanita berkenaan kini sudah boleh menjadi isteri pertama dan mendaftarkan perkahwinan mereka secara sah.
Untuk rekod, Farisha mendirikan rumah tangga dengan Tuan Asmawi pada 2017.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Nubhan, Dr Fie sah cerai talak dua, 10 tahun mahligai dibina musnah
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kemelut rumah tangga berakhir, Farid Kamil dan Diana Danielle bercerai kali kedua
5. Aprena Manrose

Aprena (kiri) tidak nampak jalan untuk kembali bersama bekas suami.
Pelakon Aprena Manrose akhirnya menjawab teka-teki hubungan perkahwinannya bersama suami Mohd Afiq Hazman telah berakhir selepas sembilan tahun hidup bersama.
Aktres berkenaan bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci punca dan tarikh sebenar mereka sah bercerai.
Kata Aprena, usaha untuk bertahan dalam rumah tangga itu tidak berakhir dengan baik baik dan turut memberi bayangan sukar untuk kembali menjernihkan hubungan dengan bekas suami.
Untuk rekod, Aprena dan Afiq mendirikan rumah tangga pada 2016.
Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.
6. Zehra Zambri

Zehra (kanan) meluahkan rasa syukur selepas kemelut rumah tangganya berakhir.
Kemelut rumah tangga Zehra Zambri ditamatkan dengan perceraian apabila penyanyi berkenaan sah bercerai dengan suami, Nur Mohd Iqwan Samsudin pada 20 Ogos lalu.
Pasangan itu bercerai melalui talak raj'ie di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bangi.
Zehra memfailkan permohonan cerai terhadap Mohd Iqwan pada 7 Mac lalu secara fast track.
Pun begitu, Mohd Iqwan tidak bersetuju dengan cara itu sebaliknya menawarkan khuluk atau tebus talak sebagai jalan penyelesaian.
Proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 14 Julai lalu juga gagal mencapai kata sepakat sehingga mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik halam.
Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Zahiyah Iqleela yang kini berusia tiga tahun.
7. Along Cham

Along dan Afreena bercerai pada 30 September lalu.
Perkahwinan yang bina hampir dua tahun akhirnya menemui titik noktah apabila pelawak Along Cham dan isterinya, Afreena Suhaimi disahkan bercerai talak satu pada 30 September lalu.
Ketika prosiding dijalankan, Hakim Syarie, Muhammad Nazri Basrawi mengesahkan telah berlaku lafaz talak dalam perkahwinan ALong bersama Afreena pada Jun tahun lalu.
Pada 1 Julai lalu, Along tampil di Mahkamah Syariah Sepang mengemukakan tiga sebab utama yang menyebabkan lafaz taklik terhadap isterinya jatuh pada Julai 2024 di kediaman mereka di Cyberjaya.
Dakwanya, Afreena sudah melanggar tiga syarat yang diberikan sejak awal perkahwinan seperti menghubungi bekas isterinya, berlaku curang serta membelakangkannya dalam segala urusan rumah tangga.
Untuk rekod, Along dan Afreena berkahwin pada 4 April tahun lalu.
8. Faisal Halim

Kisah rumah tangga pemain bola sepak turut mendapat perhatian ramai.
Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim dan isterinya Nur Syazwani Mizuana Shahril sah bercerai talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada 28 November lalu.
Menurut peguam yang mewakili Faisal iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader, mahkamah mengesahkan terdapat dua kali lafaz cerai yang dilakukan oleh pemain bola itu.
Pada 2 September lalu, Syazwani memfailkan penceraian terhadap Faisal di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor selepas enam tahun mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun pada 12 September, hubungan pasangan itu dipercayai kembali pulih apabila Faisal memuat naik foto bahagia bersama isterinya di media sosial.
Untuk rekod, Faisal dan Nur Syazwani mendirikan rumah tangga pada 9 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Khalish Aryan.
9. Amylea Azizan

Amylea mengejutkan peminat dengan berita penceraiannya bersama suami.
Pada Oktober lalu, penyanyi Amylea Azizan mengejutkan ramai peminat apabila mendedahkan dia dan suami, Mohammad Aqbar sudah bercerai.
Tidak menceritakan secara terperinci tarikh perceraian mereka, Amylea hanya memaklumkan bahawa dia sudah tamat tempoh idah.
Untuk rekod, Amylea dan Mohammad Aqba atau Ash memaklumkan mereka bernikah pada November 2023 namun merahsiakan tarikh sebenar.
10. Arash Mohd

Arash dan isteri bercerai selepas 17 tahun bernikah.
Pelakon Arash Mohamad disahkan bercerai dengan isterinya, Noor Afidahwati Mohammad selepas hampir 17 tahun mendirikan rumah tangga.
Meskipun hubungan pasangan itu dikatakan berakhir pada pertengahan tahun lalu, namun berita perkhabaran perceraian itu baharu tular sejak Oktober lalu.
Untuk rekod, Arash mendirikan rumah tangga dengan Noor Afidahwati pada 25 Disember 2007 dan tidak dikurniakan cahaya mata.
11. Nubhan

Rumah tangga yang dibina selama 10 tahun berakhir dengan penceraian.
Penyanyi Nubhan dan isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek sah bercerai dengan talak dua di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor pada 2 Disember lalu.
Perkara itu diputuskan oleh Hakim Tuan Umamuddin Yunus apabila Nubhan melakukan dua kali lafaz cerai di luar mahkamah.
Menurut peguam mewakili Nubhan iaitu Mohd Redzuan Ramli, Dr Afifah dipercayai sudah selesai menjalani tempoh idah sebanyak tiga kali suci.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille yang kini berusia tiga tahun.
12. Nina Iskandar

Nina (kanan) sudah bercerai sejak tahun lalu.
Pelakon Nina Iskandar mengesahkan dia kini bergelar ibu tunggal selepas bercerai dengan suami, Azlan Adzanan tahun lalu.
Nina membuat pendedahan tersebut kepada media pada April lalu.
Kongsi Nina, mereka sudah tidak tinggal sebumbung sejak pertengahan tahun 2022, namun menegaskan perceraian itu bukan disebabkan kewujudan pihak ketiga.
Untuk rekod, Nina berkahwin dengan Azlan atau dikenali sebagai Lan Lebah yang juga merupakan penolong pengarah drama pada April 2019.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


