suria

Aliff Syukri penyumbang zakat tertinggi 2025, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel kekal beri sumbangan RM1 juta setiap tahun

Aliff (kiri) dan Aeril (kanan) menyumbang zakat untuk tahun 2025.

USAHAWAN sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, muncul sebagai penyumbang zakat perniagaan tertinggi apabila menunaikan bayaran sebanyak RM2 juta menerusi syarikat miliknya, D’Herbs Holdings Sdn Bhd, kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Aliff atau Aliff Syukri Kamarzaman, 38, berkata pengiktirafan tersebut bukan sahaja membuatkannya berasa teruja dan bangga, malah lebih menjurus kepada tanda kesyukuran atas rezeki yang dikurniakan.

Baginya, zakat juga merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Apabila pihak Lembaga Zakat Selangor memaklumkan syarikat saya merupakan penyumbang tertinggi sebanyak RM2 juta tahun ini, saya berasa teruja dan bangga.

Aliff (kiri) penyumbang zakat terbesar sepanjang tahun 2025.

“Bukan bangga untuk menunjuk-nunjuk, tetapi lebih kepada rasa syukur kepada Allah. Ini merupakan sumbangan dengan amaun paling tinggi syarikat kami sepanjang menyumbang kepada LZS,” katanya kepada mStar.

Aliff berkongsi perkara itu ketika ditemui pada Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) 2025 yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Shah Alam, pada Selasa.

Lebih menyentuh perasaan, Aliff turut berkongsi kisah silam apabila dirinya pernah menjadi penerima zakat ketika masih kecil.

Sehubungan itu, Aliff menegaskan masyarakat tidak seharusnya memandang rendah golongan kurang bernasib baik kerana setiap individu mempunyai peluang untuk berjaya sekiranya diberikan ruang dan sokongan.

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri malu Shahida jarang pakai emas, risau persepsi orang kampung... “Hebatnya suami apabila isteri disaluti barang kemas”

ARTIKEL BERKAITAN: Ammar Ahyan dapat kereta Porsche, senang untuk ke kolej... Aliff Syukri nasihat jangan riyak

“Dahulu, saya juga merupakan penerima zakat. Saya menerima bantuan berkaitan pelajaran, kelengkapan sekolah dan juga makanan.

“Jangan sesekali memandang rendah orang susah dan menganggap mereka tidak boleh berjaya. Walau siapa pun kita, sama ada anak kampung, tinggal di PPR atau penerima bantuan zakat, semua orang mempunyai peluang untuk berjaya,” ujarnya.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, pasangan selebriti Aeril Zafrel dan Wawa Zainal turut tersenarai antara syarikat yang konsisten menunaikan tanggungjawab berzakat.

Menurut Wawa atau Nur Hawa Zainal Abidin, 34, sumbangan RM1 juta selama tiga tahun berturut-turut didorong oleh keinginan dirinya bersama syarikat Wawa Global Sdn Bhd untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.

Wawa (kiri) dan Aeril membayar zakat sebanyak RM1 juta.

“Saya dan Aeril memang mahu memberi lebih kerana ingin berkongsi rezeki. Apabila memberi kepada LZS, kita tahu ke mana wang itu disalurkan.

“Kami juga tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk turun sendiri membantu orang. Jadi, bagi kami, ini merupakan jalan yang mudah, singkat dan dipercayai untuk mengagihkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama, sebanyak 56 syarikat tampil menunaikan tanggungjawab berzakat dengan jumlah keseluruhan RM22.15 juta menerusi Majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) 2025.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan bantuan zakat berjumlah RM346,238 kepada golongan asnaf melibatkan bantuan perumahan, perniagaan dan perubatan, selain penyampaian Wakalah Majikan Kerajaan kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan LZS membantu mereka yang memerlukan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain