suria

Wali Band ubat rasa kecewa peminat, tak lupa doa buat Palestin

12,000 penonton menyaksikan persembahan Wali Band.

KONSERT solo Wali Band yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada malam Jumaat membuktikan kumpulan ikonik dari Indonesia ini masih mempunyai pengaruh luar biasa apabila berjaya mengumpulkan hampir 12,000 penonton.

Kehadiran luar biasa itu seolah-olah menjadi medan buat para peminat menembus rasa tidak puas hati dan kekecewaan yang pernah timbul sewaktu konsert mereka di Idea Live Arena pada Januari lalu.

Meskipun ibu kota dilanda hujan lebat sebelum acara bermula, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat peminat yang rata-ratanya sudah mula membanjiri perkarangan stadium seawal jam 4 petang.

Wali Band berikan persembahan bertenaga buat peminat. 

Tepat jam 8.30 malam, suasana stadium bertukar gamat dengan sorakan gemuruh sebaik sahaja anggota kumpulan itu melangkah masuk ke pentas.

Wali Band yang dianggotai oleh Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) berjaya menghidupkan suasana dengan rangkaian lagu-lagu hit mereka seperti Aku Bukan Bang Toyib, Tobat Maksiat, Yank, Cari Jodoh dan Baik-Baik Sayang.

Kehangatan konsert anjuran GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures itu menyaksikan penonton tidak dapat duduk diam, malah hampir keseluruhan stadium berdiri dan menari bersama sepanjang persembahan berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Pentas bertukar gelap, penonton jerit 'boo' konsert RadjaWali tiba-tiba dihentikan

ARTIKEL BERKAITAN: Wali Band datang Malaysia semula! Penganjur mahu tebus kesilapan konsert lalu

Kumpulan itu nyata terharu melihat sokongan padu yang diberikan, yang mana tenaga daripada peminat menjadi pemangkin buat mereka memberikan persembahan yang cukup bertenaga.

Tidak hanya sekadar memberikan hiburan semata-mata buat penonton, Wali Band turut mengambil kesempatan untuk memgalunkan zikir dan menitipkan doa-doa buat para peminat, termasuk bacaan al-Fatihah sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang mereka terhadap yang hadir. 

Doa dipanjatkan agar segala urusan peminat yang dari pelbagai kalangan usia serta latar belakang sosio dipermudahkan serta kehidupan mereka sentiasa diberkati di dunia dan akhirat.

Konsert tersebut berlangsung selama dua jam. 

Tidak ketinggalan, mereka juga menyampaikan doa khusus buat rakyat Palestin sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap situasi kemanusiaan yang sedang berlaku.

Pendekatan ini sekali gus mencerminkan identiti Wali Band yang sinonim dengan konsep dakwah hiburan di mana setiap lagu dan persembahan bukan sahaja menghibur, tetapi turut membawa pesan serta  mesej positif tentang perdamaian, kasih sayang, menjaga akhlak dan hubungan sesama manusia.

Secara keseluruhannya, konsert Wali Kembali ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, tetapi satu pengalaman yang menyentuh jiwa dan membuktikan mesej positif dalam setiap karya mereka tetap relevan di hati pendengar.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain