suria

Individu menyamar jadi perancang majlis, Atiq Azman buat laporan polis… Impian majlis akikah anak musnah 

Raja Atiq buat laporan polis pada Sabtu.

HASRAT pelakon Atiq Azman untuk meraikan majlis akikah buat cahaya mata sulungnya hampir tidak kesampaian apabila dia mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang individu yang menyamar sebagai perancang majlis.

Menerusi hantaran yang dimuat naik, Atiq atau Raja Mohammad Atiqullah Syah Raja Azman Syah, 26, meluahkan rasa terkilan kerana majlis yang sudah dirancang rapi itu sepatutnya berlangsung dalam tempoh seminggu sahaja lagi. 

"Sepatutnya lagi seminggu ini jadi hari paling bermakna untuk anak saya, Majlis Aqiqah dan Tahniq bersama Ustaz Wadi yang kami sudah rancang lama.

Raja Atiq luah rasa kecewanya di Instagram. 

"Tapi tak sangka, kami kena tipu dengan orang yang mengaku pemilik dewan di Klassy Space," katanya menerusi hantaran pada Sabtu. 

Susulan itu Atiq tampil membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Campbell, Seremban, Negeri Sembilan berhubung perkara berkenaan. 

Menurut Atiq, suspek mendakwa mempunyai hubungan rapat dengan pembantu peribadi (PA) pendakwah selebriti Ustaz Wadi Annuar, penyampai radio Radin, serta kumpulan marhaban di sekitar Puchong.

ARTIKEL BERKAITAN: Atiq Azman timang cahaya mata lelaki, pilih nama Raja Muhammad Aaryan

ARTIKEL BERKAITAN: “Paling biadab, perangai pun macam musibat” - Atiq Azman dedah sikap buruk pempengaruh di set penggambaran

Bercerita lanjut mengenai kerugian yang dialami, Atiq mendedahkan bahawa dia telahpun melunaskan hampir keseluruhan bayaran bagi majlis tersebut.

"Semua bayaran sudah selesai cuma tinggal 'pending' untuk bayar hari ini (Sabtu).

"Di media sosial nampak memang betul tapi sebaliknya sampai sekarang dia masih nak tunggu bayaran terakhir kami," ujarnya. 

Tambah Atiq, kekecewaannya bukan sekadar soal kerugian wang ringgit, namun lebih kepada nilai sentimental majlis tersebut yang merupakan sambutan pertama buat anak sulungnya.

Raja Atiq luah rasa terkilan apabila hasrat isterinya tidak tercapai. 

"Harapan isteri saya musnah. Sejak dia mengandung lagi dia cari cara bagaimana nak dapatkan hubungi Ustaz Wadi untuk tahniq.

"Saya kongsi ini bukan nak simpati, cuma nak ingatkan tolong hati-hati bila deal dengan mereka yang cuba menipu," tambahnya. 

Atiq bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah kerugian keseluruhan yang dialaminya namun memohon doa orang ramai agar urusannya dipermudahkan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain