Bendasing halus berwarna perak dipercayai merkuri yang ditemui dalam minuman teh susu wanita berkenaan. -Foto Weibo/SCMP
SEORANG wanita yang sebelum ini mendakwa minuman teh susunya dicampur merkuri akhirnya dikejutkan dengan penemuan bahan berbahaya itu sebenarnya angkara teman lelakinya sendiri.Wanita dikenali sebagai Zhang dari wilayah Anhui, China itu pada mulanya berkongsi di media sosial mendakwa menemui butiran kecil menyerupai merkuri di dalam minuman yang dibeli dari sebuah kedai minuman terkemuka oleh teman lelakinya pada 27 April lalu. Menurut Zhang, ketika meneguk, dia terasa terdapat butiran kecil dalam minuman tersebut yang disifatkannya tidak seperti bebola ubi kayu (boba) biasa.Dia kemudian meludah minuman itu sebelum mendapati terdapat kepingan kecil berwarna perak dipercayainya merkuri.Susulan kejadian itu, Zhang menghubungi rangkaian kedai teh susu berkenaan untuk membuat aduan, namun mereka menafikan kemungkinan ia angkara pekerja. Malah, kakitangan premis terbabit turut mencadangkan supaya dia membuat laporan polis.Zhang kemudiannya menghubungi pihak polis selain memaklumkan perkara itu kepada persatuan pengguna tempatan.Perkongsiannya di media sosial turut menarik perhatian ramai dan mencetuskan kebimbangan orang awam mengenai isu keselamatan makanan.Dalam satu kenyataan, pihak kedai memaklumkan mereka memandang serius dakwaan tersebut dan akan memberikan kerjasama penuh kepada polis serta pihak pengawal selia pasaran bagi membantu siasatan.Bagaimanapun, hasil siasatan pihak berkuasa tempatan pada keesokan harinya mengejutkan ramai pengguna media sosial.Siasatan mendapati semua bahan serta prosedur penyediaan minuman di premis berkenaan selamat selain tiada unsur pencemaran sepanjang proses penghasilan minuman.Pihak penyiasat mendakwa bahan asing dalam teh susu itu sebenarnya telah dimasukkan sendiri oleh individu yang membeli minuman berkenaan.Menurut pasukan penyiasat, seorang suspek sudah ditahan dan beberapa bukti turut dikumpulkan bagi membantu siasatan lanjut.Walaupun identiti suspek tidak didedahkan secara rasmi, netizen membuat spekulasi individu terbabit adalah teman lelaki Zhang berdasarkan kisah pernah dikongsikannya sebelum ini. -Agensi