suria

Ajaib! Kanak-kanak 4 tahun terselamat jatuh tingkat 11 apartmen, keluar ke balkoni nak tengok ibu dan ayah pulang kerja 

Kanak-kanak empat tahun terselamat walaupun jatuh dari tingkat 11. -Gambar Sohu

SEORANG kanak-kanak lelaki terselamat selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah apartmen ketika cuba melihat sama ada ibu bapanya sudah pulang ke rumah.

Kanak-kanak berusia empat tahun itu ditinggalkan bersendirian di rumah buat sementara waktu ketika ibu bapanya keluar menghantar barang.

Menurut ibunya, mereka yakin anaknya berada dalam keadaan selamat kerana pintu rumah dan tingkap keselamatan sudah dikunci selain dipantau menerusi kamera pengawasan.

Namun, kanak-kanak dikenali sebagai Xiaoming itu dipercayai berjaya mencari kunci tingkap sebelum membukanya sendiri dan terjatuh dari bangunan berkenaan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada 11 April lalu di Dalian, wilayah Liaoning di China.

Kira-kira dua jam kemudian, bapanya pulang ke rumah sebelum menyedari anaknya hilang dan menemui mangsa terbaring berhampiran bangunan kediaman mereka.

Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal selepas mengalami pelbagai kecederaan serius termasuk patah tulang serta kerosakan pada organ dalaman seperti hati, limpa, paru-paru dan buah pinggang.

“Doktor beritahu peluang untuk hidup hanya lima peratus. Masa itu kami rasa dunia runtuh,” kata bapanya.

Kanak-kanak tersebut ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad biasa selepas 18 hari menerima rawatan.

Menurut ibunya, Xiaoming memberitahu dia memanjat tingkap kerana terlalu merindui ibu bapanya dan mahu melihat sama ada mereka sudah pulang.

“Dia kata dia rindu sangat dan cuma nak tengok kami balik atau tidak,” katanya.

Kisah kanak-kanak itu menjadi tular di media sosial China dengan ramai menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu keajaiban.

Undang-undang Perlindungan Kanak-Kanak di China menetapkan kanak-kanak bawah lapan tahun tidak boleh ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan penjaga. -Agensi

Artikel Lain