suria

Dua lelaki Singapura kena kuarantin, disyaki terdedah hantavirus

Penularan hantavirus kini mencetuskan kebimbangan selepas tiga individu dilaporkan meninggal dunia akibat wabak tersebut. -Gambar hiasan

DUA penduduk Singapura kini diasingkan dan sedang menjalani ujian saringan kesihatan selepas dipercayai terdedah kepada wabak hantavirus yang meragut tiga nyawa di atas sebuah kapal persiaran, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada Khamis.

Wabak itu menular di atas kapal persiaran MV Hondius dan telah mencetuskan kebimbangan antarabangsa apabila beberapa negara mula menjejaki penumpang kapal terbabit bagi mengelakkan penularan virus berkenaan.

Setakat ini, tiga individu disahkan meninggal dunia akibat jangkitan tersebut, melibatkan pasangan warga Belanda dan seorang rakyat Jerman. 

Dalam masa sama, lapan lagi penumpang dipercayai dijangkiti hantavirus.

Hantavirus lazimnya disebarkan melalui tikus, namun dalam kes tertentu virus itu juga boleh merebak daripada manusia kepada manusia.

Menurut CDA, dua lelaki warga Singapura berusia 67 dan 65 tahun itu kini ditempatkan di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) bagi tujuan pemantauan lanjut.

Kedua-dua mereka dilaporkan berada di atas MV Hondius ketika kapal itu berlepas dari pelabuhan Ushuaia, Argentina pada 1 April lalu.

"Seorang daripada mereka mengalami simptom ringan seperti hidung berair tetapi berada dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi tidak menunjukkan sebarang gejala.

"Risiko kepada orang awam di Singapura ketika ini adalah rendah," menurut kenyataan agensi tersebut.

CDA memaklumkan, sekiranya keputusan ujian mereka negatif, kedua-duanya tetap akan menjalani kuarantin selama 30 hari bermula daripada tarikh pendedahan terakhir kepada virus itu.

Namun, jika disahkan positif, mereka akan terus menerima rawatan dan pemantauan di hospital.

Difahamkan, kedua-dua lelaki tersebut turut menaiki penerbangan yang sama dengan seorang pesakit hantavirus yang disahkan positif dari St Helena ke Johannesburg pada 25 April lalu.

Pesakit berkenaan bagaimanapun tidak memasuki Singapura dan dilaporkan telah meninggal dunia di Afrika Selatan. -Agensi

Artikel Lain