suria

Bukan sekadar bau busuk, rupanya tangki septik rumah anda boleh jadi ‘bom jangka’ jika silap langkah

Kesilapan manusia boleh menjadi punca kepada letupan tangki septik. -Gambar hiasan AI

TANGKI septik berfungsi untuk menampung dan menguraikan sisa buangan di sesebuah kediaman. 

Namun, jika tidak diselenggara dengan baik, ia boleh menimbulkan bahaya, malah berisiko meletup. 

Berikut kami kongsikan empat punca letupan tangki septik:

1. Pengumpulan gas mudah terbakar

Memetik Tank for Everything, di dalam tangki septik, sisa organik akan terurai secara semula jadi dan menghasilkan gas metana serta hidrogen sulfida. 

Kedua-dua gas ini bersifat mudah terbakar dan jika jumlahnya terus meningkat di dalam tangki atau meresap ke ruang tertutup seperti ruang bawah tanah dan saluran sempit, keadaan ini boleh menjadi sangat berbahaya.

Apabila kepekatan gas mencapai tahap tertentu, tangki septik boleh meletup sekiranya terdapat pencetus seperti percikan api.

2. Kehadiran sumber api berhampiran tangki

Menurut Gullet Sanitation pula, gas yang terkumpul tidak akan meletup tanpa pencetus. 

Antara sumber pencetus yang biasa termasuk percikan elektrik daripada peralatan elektronik, api terbuka, puntung rokok, serta elektrik statik.

Oleh itu, kawasan sekitar tangki septik perlu dijauhkan daripada aktiviti yang menghasilkan api atau percikan elektrik.

Penghuni rumah tidak sepatutnya membuang pelbagai jenis sisa ke dalam tandas. -Gambar hiasan AI

3. Pengudaraan tersumbat

Selain itu, setiap tangki septik lazimnya mempunyai saluran ventilasi untuk melepaskan gas hasil pereputan secara selamat ke udara terbuka. 

Jika paip ventilasi tersumbat oleh kotoran, sarang haiwan atau kerosakan lain, gas tidak dapat keluar dengan baik.

Akibatnya, tekanan di dalam tangki meningkat dan gas berkumpul sehingga mencapai tahap berbahaya.

4. Membuang sisa tidak sesuai ke dalam tandas

Tangki septik direka untuk menerima sisa organik. Jika penghuni rumah membuang minyak, lemak, tisu secara berlebihan, plastik atau bahan kimia ke dalam tandas, sistem boleh terganggu.

Bahan yang sukar terurai boleh menyebabkan saluran tersumbat, mempercepatkan kerosakan tangki, serta meningkatkan risiko pengumpulan gas. Tangki septik boleh meletup apabila gas metana terkumpul dan terperangkap di dalamnya.

Bagi memastikan tangki septik kekal selamat, lakukan langkah berikut:

* Sedut tangki septik secara berkala

* Pastikan saluran ventilasi tidak tersumbat

* Elakkan membuang sisa bukan organik ke dalam tandas

* Jangan merokok atau menyalakan api berhampiran tangki

Dengan penyelenggaraan yang betul, risiko letupan tangki septik dapat dikurangkan dan sistem pembuangan sisa rumah tangga terus berfungsi dengan selamat.

Artikel Lain