Pekerja yang dianiaya majikan boleh memfailkan aduan serta mengambil tindakan undang-undang demi keadilan. -Gambar hiasan AI
SEORANG wanita menerima pampasan sebanyak 690,000 yuan (kira-kira RM396,636) selepas mahkamah memutuskan dia dipecat secara tidak sah hanya kerana suaminya bekerja dengan syarikat pesaing.Menurut laporan media tempatan, keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Rakyat Daerah Xuhui pada penghujung April lalu. Wanita dikenali sebagai Liu itu mula bekerja di sebuah syarikat pengurusan hartanah di Shanghai sejak tahun 2006.Namun pada penghujung tahun 2023, dia menerima notis penamatan kerja daripada majikannya.Majikan mendakwa suami Liu yang bekerja sebagai pengurus besar di sebuah firma pesaing telah memberi 'kesan buruk' kepada syarikat berkenaan.Susulan itu, Liu memfailkan aduan timbang tara buruh pada Februari 2024 bagi menuntut pampasan selepas mendakwa pemecatannya tidak adil.Dia menuntut pampasan gaji sebanyak 680,000 yuan (kira-kira RM390,886) bonus tahunan 60,000 yuan (kira-kira RM34,490) bagi tahun 2023 serta 10,000 yuan (kira-kira RM5,748) lagi untuk cuti tahunan yang belum digunakan.Dua bulan kemudian, jawatankuasa timbang tara buruh memutuskan bekas majikannya perlu membayar pampasan gaji sebanyak 680,000 yuan (kira-kira RM390,886) selain 10,000 yuan (kira-kira RM5,748) bagi cuti tahunan yang belum diambil.Bagaimanapun, syarikat tersebut tidak berpuas hati dengan keputusan itu lalu memfailkan saman di mahkamah.Syarikat berkenaan mendakwa Liu yang memegang jawatan pengurus operasi mempunyai akses kepada data sulit dan maklumat penting syarikat.Namun, mahkamah mendapati pihak syarikat gagal mengemukakan bukti kukuh bahawa suami Liu menggunakan kedudukannya untuk menjejaskan kepentingan syarikat.Mahkamah kemudian mengekalkan keputusan timbang tara buruh dan mengesahkan bahawa pemecatan Liu adalah menyalahi undang-undang.Dalam penghakimannya, mahkamah turut menyatakan adalah perkara biasa bagi pasangan suami isteri bekerja di syarikat berbeza walaupun dalam industri yang sama. -Agensi