suria

Pelik tapi benar! Sekolah ini tak terima wang tunai, ibu bapa diminta bawa 2kg barang kitar semula sebagai yuran

Dua kilogram sampah perlu diberikan kepada sekolah sebagai yuran bulanan. -Gambar Kompas

SEBUAH pusat pendidikan awal kanak-kanak tampil dengan pendekatan unik apabila memperkenalkan sistem sekolah tanpa wang tunai dengan yuran dibayar menggunakan sampah.

Ibu bapa tidak perlu membayar yuran dalam bentuk wang, sebaliknya mereka hanya perlu menghantar kira-kira dua kilogram (kg) sampah setiap bulan sebagai bayaran pendidikan.

Sampah yang dikumpulkan terdiri daripada plastik, kadbod dan bahan terpakai lain, sebelum dihantar ke pusat kitar semula komuniti. 

Ia kemudian diproses menjadi produk seperti baja kompos, makanan haiwan (maggot) dan bahan bakar biojisim.

Hasil daripada proses kitar semula itu digunakan untuk menampung kos operasi sekolah, termasuk bil elektrik, peralatan pembelajaran serta keperluan asas murid seperti alat tulis dan pakaian seragam.

Pusat Pendidikan awal kanak-kanak itu terletak di Tugu Utara di Koja, Indonesia.

Menurut pihak pengurusan, sumbangan sampah juga direkodkan seperti sistem simpanan, di mana ibu bapa boleh mengumpul lebihan kredit jika menghantar lebih daripada sasaran ditetapkan.

Bagaimanapun, mereka menegaskan tujuan utama program ini bukan untuk keuntungan, sebaliknya bagi mendidik kanak-kanak dan ibu bapa tentang kepentingan menjaga alam sekitar serta amalan kitar semula sejak usia kecil.

Inisiatif tersebut mendapat perhatian ramai kerana dianggap kreatif dan berkesan dalam menggabungkan pendidikan awal kanak-kanak dengan kesedaran alam sekitar secara praktikal. -Agensi

Artikel Lain