suria

Niat nak ‘fun’ berakhir tragedi! Lelaki ditikam 2 remaja berpakaian wanita, bawa lari wang tunai RM18,000

Pelancong Australia ditikam dengan gunting oleh dua remaja. -Gambar The Pattaya News

SEORANG pelancong lelaki berdepan detik cemas apabila disamun dan ditikam dua remaja dalam kejadian di sebuah rumah tumpangan pada Isnin.

Warga Australia berusia 45 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan selepas ditikam di bahagian dada kanan atas oleh salah seorang suspek. 

Mangsa sebelum itu telah menjemput dua individu yang disangkanya wanita ke biliknya, namun berlaku pertengkaran selepas dia menyedari mereka adalah transgender.

Kejadian dilapor berlaku di Pattaya, Thailand.

Situasi kemudian bertukar ganas apabila salah seorang remaja menolak mangsa ke dalam bilik air sebelum menikamnya menggunakan objek tajam. 

Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri bersama wang tunai milik mangsa sebanyak 140,000 baht (RM18,200), manakala lelaki itu mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis. 

Susulan itu, pihak berkuasa menahan dua remaja berusia 16 dan 17 tahun di sebuah kondominium berhampiran lokasi kejadian pada Selasa.

Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan polis turut merampas sepasang gunting serta wang tunai sebagai bahan bukti.

Mereka kini berdepan pertuduhan melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan dan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. -Agensi

Artikel Lain