DUA kakitangan maut manakala dua lagi individu termasuk seorang pelajar cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah pada Selasa.Pihak berkuasa tempatan memaklumkan, susulan kejadian itu seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung serangan di Institut Sao Jose iaitu sebuah sekolah menengah di Rio Branco, Acre, Brazil. Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada suspek merupakan pelajar sekolah berkenaan.Pihak berkuasa turut menahan penjaga sah suspek yang menggunakan senjata api dalam serangan tersebut bagi membantu siasatan.Saksi pula memberitahu insiden itu mencetuskan suasana panik apabila pelajar sekolah itu dilaporkan cuba melarikan diri dengan memanjat tembok dan bumbung sekolah.Seorang penyambut tetamu hotel berhampiran sekolah, Eduardo Rodrigues Cavalcante berkata, beberapa pelajar dilihat memanjat tembok setinggi enam meter yang memisahkan sekolah dan hotel berkenaan sebaik tembakan dilepaskan suspek.Foto yang disiarkan media tempatan pula menunjukkan seorang wanita dibawa keluar menggunakan pengusung (stretcher), manakala orang ramai dilihat menangis dan berpelukan di luar sekolah.Susulan kejadian itu, sesi persekolahan di seluruh negeri Acre digantung selama tiga hari, selain pasukan sokongan psikologi digerakkan bagi membantu pelajar dan guru. -Agensi