suria

Tertekan nak duduki peperiksaan, mahasiswa terjun tingkat sembilan bangunan asrama

Keadaan kelam kabut di sebuah asrama selepas seorang pelajar terjun dari tingkat sembilan. - Gambar India Today

SEORANG mahasiswa tahun kedua di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) ditemukan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat sembilan asrama kampus.

Difahamkan mangsa yang berusia 20 tahun, merupakan pelajar jurusan Sains Komputer di Institut Teknologi Maklumat India (IIIT) Nagpur.

Menurut polis kejadian berlaku sekitar pukul 4 pagi hingga 4.30 pagi, Isnin lalu.

Mangsa dikenali sebagai Shreyash Chandrakant Mane dipercayai menghadapi tekanan berkaitan persediaan peperiksaan semester yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.

“Dia dikatakan mengalami tekanan kerana belum menyiapkan tugasan pelajaran. Kes kematian mengejut telah didaftarkan dan siasatan sedang dijalankan,” kata pegawai polis.

Tiada sebarang nota bunuh diri dijumpai di lokasi kejadian, dan pihak berkuasa kini sedang meneliti semua kemungkinan termasuk faktor peribadi serta tekanan akademik.

Selepas kejadian, ratusan pelajar dilaporkan berkumpul di kawasan kampus dalam keadaan terkejut dan sedih dengan insiden berkenaan.

Pihak universiti memaklumkan siasatan lanjut turut melibatkan pemeriksaan telefon bimbit mangsa bagi mendapatkan petunjuk tambahan berkaitan kejadian. -Agensi

Artikel Lain