suria

Tak sempat naik pelamin... Pengantin lelaki maut ditembak, keluarga mentua disyaki dalang utama!

Mangsa ditembak ketika menaiki kereta berhias bunga dan dalam perjalanan ke majlis hari bahagianya. -Gambar hiasan (kiri)

HARI bahagia sepasang mempelai bertukar menjadi tragedi berdarah apabila pengantin lelaki ditembak mati ketika dalam perjalanan menghadiri majlis resepsinya.

Mangsa, Azad Bind, dipercayai sudah menerima ugutan dua hari sebelum kejadian. 

Malah, ahli keluarganya mengakui mereka sempat berbincang untuk membuat laporan polis, namun tidak meneruskannya selepas merasakan situasi masih terkawal.

Kejadian berlaku di Lebuhraya Kebangsaan 135-A, dekat Jaunpur, Uttar Pradesh, India, pada petang 1 Mei lalu, kira-kira lima kilometer dari kediaman mangsa. 

Ketika itu, mangsa sedang menaiki kereta berhias bunga dalam perarakan perkahwinan sebelum diserang sekumpulan individu bermotosikal.

Menurut saksi, tiga lelaki bermotosikal memintas kenderaan yang dinaiki mangsa, dengan muka dan nombor plat ditutup.

Mereka kemudian melepaskan beberapa das tembakan sebelum melarikan diri.

Menurut salah seorang ahli keluarga, mangsa masih sempat memberi kata-kata terakhir sebelum tidak sedarkan diri.

"Dia berkata... saya tidak akan dapat menyelamatkan diri saya sendiri," kata ahli keluarga mangsa.

Mangsa segera dikejarkan ke hospital berhampiran sebelum dipindahkan ke hospital daerah, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian itu berpunca daripada penentangan ahli keluarga pihak pengantin perempuan terhadap perkahwinan tersebut.

Setakat ini, tiga suspek yang dipercayai daripada keluarga pengantin perempuan masih bebas.

Polis menawarkan ganjaran Rs25,000 (RM1,038) kepada mana-mana pihak yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada tangkapan mereka. -Agensi

Artikel Lain