suria

Dada tok imam masjid dipijak lepas tegur remaja main pembesar suara - “Mereka laungkan azan sebelum waktu”

Imam masjid cedera di beberapa bahagian tubuh selepas dipukul dan dipijak dari arah belakang.

 

SEORANG lelaki warga emas dipijak dan dipukul menggunakan bata oleh sekumpulan individu, sejurus selesai mengimamkan solat asar.

Serangan dari arah belakang itu membuatkan mangsa yang dikenali sebagai Ahmad, 62, mengalami beberapa kecederaan di tubuh selain lebam pada bahagian matanya.

Kejadian itu berlaku di hadapan Masjid As Salam, Bandar Palopo di Indonesia.

Menurut Ahmad, dia diserang secara tiba-tiba dari arah belakang sebelum terjatuh akibat tersandung timbunan pasir berhampiran lokasi kejadian.

"Saya tiba-tiba dipukul dari belakang. Apabila cuba berundur, saya terjatuh sebab ada timbunan pasir. 

"Pada masa itulah, saya terus dipukul, dada dipijak dan ada yang memukul menggunakan batu bata,” katanya pada Ahad.

Akibat serangan tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian pelipis dan mata selain lebam di beberapa anggota badan, sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Ahmad percaya kejadian itu berpunca daripada tindakannya menegur sekumpulan kanak-kanak yang bermain dengan pembesar suara masjid, termasuk melaungkan azan sebelum masuk waktu.

"Saya hanya menegur mereka kerana bermain mikrofon dan melaungkan azan sebelum waktunya," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Perhubungan Awam Polis Palopo, AKP Marsuki berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan menjalankan siasatan lanjut.

Menurutnya, empat saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan, manakala pihak polis kini menunggu laporan perubatan sebelum tindakan lanjut diambil.

"Kes dikendalikan oleh Polis Wara dan siasatan masih berjalan. Suspek juga telah dipanggil ke balai pada Isnin untuk diambil keterangan," katanya. -Agensi

Artikel Lain