suria

Keringat dibayar darah! Tukang kebun parah diserang keluarga majikan lepas minta upah

Mangsa dikejarkan ke hospital selepas insiden tersebut.

 

HANYA kerana menuntut upah atas tugasan yang dilakukan, seorang tukang kebun dipukul dan ditikam sekumpulan individu di hadapan rumahnya.

Kejadian dilaporkan berlaku di daerah İnegöl, Bursa, Turki kira-kira pukul 10.30 malam Ahad.

Berdasarkan laporan, mangsa dikenali sebagai Hüseyin A sebelum itu menuntut bayaran daripada majikannya, Yılmaz C, selepas menyiapkan kerja berkebun.

Pertikaian tercetus antara mereka sebelum Hüseyin pulang ke rumahnya.

Tidak lama kemudian, empat individu dipercayai ahli keluarga majikan berkenaan datang ke rumah mangsa dan memanggilnya keluar.

Sebaik keluar, Hüseyin diserang dengan tumbukan dan tendangan sebelum ditikam sebanyak dua kali di bahagian belakang badan.

Kesemua suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Negeri İnegöl oleh pasukan perubatan yang tiba selepas menerima panggilan kecemasan.

Keadaan mangsa dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan lanjut.

Sementara itu, pasukan keselamatan melancarkan operasi bagi mengesan dan menahan semua suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut. -Agensi

Artikel Lain