Tangkap layar rakaman video menunjukkan operasi menyelamatkan dua individu terkandas atas tangki air lama menggunakan helikopter. -Foto NDTV/media sosial
DUA lelaki yang terkandas berbelas-belas jam di atas sebuah tangki air lama berjaya diselamatkan dalam satu operasi menggunakan sebuah helikopter.Menurut pihak berkuasa, sebuah helikopter jenis Mi-17 V5 milik Tentera Udara India dikerahkan atas permintaan kerajaan negeri bagi membantu operasi tersebut. Helikopter berkenaan tiba di kawasan kejadian yang terletak di Siddharthnagar, Uttar Pradesh, India pukul 5.20 pagi Ahad sebelum melaksanakan operasi menyelamat yang berlangsung kira-kira 15 minit.Kedua-dua lelaki itu kemudiannya diterbangkan ke Gorakhpur untuk tindakan lanjut.Dalam kenyataan di media sosial, Tentera Udara India memaklumkan mangsa terkandas sejak waktu malam selepas tangga di tangki air tersebut rosak.Difahamkan, dua lelaki tersebut bersama tiga lagi rakan mereka memanjat tangki air berkenaan sekitar pukul 1.00 tengah hari (Sabtu) untuk merakam kandungan media sosial. Namun, tangga pada tangki air tersebut tiba-tiba patah menyebabkan tiga daripada mereka terjatuh.Seorang daripada mangsa disahkan maut, manakala dua lagi cedera.Dua yang terselamat, dikenali sebagai Pawan dan Kallu, pula terperangkap di atas tangki sebelum berjaya diselamatkan dalam operasi berkenaan. -Agensi