Lokasi kebakaran bangunan kediaman empat tingkat di Vivek Vihar, New Delhi yang mengorbankan sembilan nyawa. -Foto NDTV
SEMBILAN maut termasuk seorang bayi berusia kira-kira satu setengah tahun selepas sebuah bangunan kediaman empat tingkat musnah dijilat api. Dalam kejadian sekitar pukul 4 pagi Ahad itu, api dipercayai bermula di tingkat dua sebelum merebak pantas ke tingkat tiga dan empat bangunan berkenaan. Seramai 14 anggota bomba dikejarkan ke lokasi yang terletak di Vivek Vihar, New Delhi, bagi memadamkan kebakaran serta menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR)Menurut pihak berkuasa, kesemua sembilan mangsa yang terkorban telah dikenal pasti. Korban paling ramai dilaporkan di tingkat dua, membabitkan lima sekeluarga iaitu Arvind Jain, 60; isterinya Anita Jain, 58; anak lelaki mereka Nishant Jain, 35; isteri Nishant, Anchal Jain, 33; serta anak mereka, Akash Jain yang berusia kira-kira satu setengah tahun.Di tingkat tiga pula, tiga sekeluarga terkorban, dikenal pasti sebagai Nitin Jain, 50; isterinya Shailey Jain, 48; dan anak mereka Samyak Jain, 25.Sementara itu, seorang wanita, Sikha Jain, 40, maut di tingkat satu, manakala suaminya Naveen Jain, 48, dilaporkan cedera dan sedang dirawat di Hospital Guru Teg Bahadur.Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian.Rakaman visual dari lokasi menunjukkan sebahagian besar bangunan hangus terbakar dengan kepulan asap tebal keluar dari tingkat atas.Difahamkan, struktur bangunan menjadi antara faktor utama menyukarkan usaha menyelamat. Gril besi pada tingkap serta pintu yang berkunci di bahagian menuju ruang atas menghalang penghuni daripada keluar dengan cepat ketika api marak.Selain itu, pelan bangunan yang hanya mempunyai satu laluan tangga tanpa pintu keluar kecemasan turut menyukarkan operasi menyelamat. -Agensi