SEORANG lelaki maut selepas dipercayai terjerat tali layang-layang ketika menunggang motosikal di Karawang, Jawa Barat, Indonesia. Dalam kejadian pada petang Sabtu, mangsa berusia 32 tahun dilaporkan melalui kawasan Dusun Kedung Waringin, Desa Kutapohaci sebelum motosikalnya tiba-tiba berhenti di tepi jalan.Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Karawang, Ipda Cep Wildan, mangsa ditemui sekitar pukul 3.30 petang dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan serius di bahagian leher."Mangsa mengalami pendarahan teruk sehingga membasahi pakaian, menyebabkan orang awam yang berada di lokasi panik," katanya.Saksi memaklumkan mangsa sempat meminta bantuan sebelum tidak sedarkan diri, selain memberitahu dia terjerat tali yang melintang di jalan.Penduduk setempat kemudian membantu membawa mangsa ke Hospital Daerah Karawang, namun dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba untuk mendapatkan rawatan.Polis kini menjalankan siasatan lanjut termasuk pemeriksaan lokasi kejadian, mengambil keterangan saksi serta bekerjasama dengan pasukan forensik bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.Dalam pada itu, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan kematian mangsa berpunca daripada tali layang-layang yang berbahaya kepada pengguna jalan raya.Wildan turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada serta tidak bermain layang-layang di kawasan berhampiran jalan raya kerana boleh mengundang risiko kemalangan serius. -Agensi