SEORANG wanita berusia lingkungan 30-an ditahan polis selepas disyaki menyebabkan kematian anak lelakinya yang baru berusia lapan bulan.Kejadian dilaporkan berlaku di wilayah Gyeonggi, Korea Selatan. Menurut pihak berkuasa pada Khamis, wanita itu disiasat atas kesalahan penderaan kanak-kanak sehingga menyebabkan kematian.Siasatan mendapati suspek mengaku berulang kali memukul kepala bayi tersebut menggunakan alat kawalan jauh televisyen pada 10 April lalu.Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital di Bucheon, namun doktor mengesan kecederaan serius termasuk keretakan tengkorak dan menasihatkan agar bayi itu dimasukkan ke wad.Bagaimanapun, wanita itu dilaporkan enggan berbuat demikian sebelum membawa pulang anaknya.Tiga hari kemudian, dia sekali lagi membawa bayi tersebut ke hospital selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri di rumah, namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.Hasil siasatan lanjut termasuk rakaman kamera pengawasan di rumah mendapati bayi berkenaan pernah ditinggalkan bersendirian selama beberapa jam dalam pelbagai keadaan.Pada awalnya, suspek mendakwa kecederaan mangsa berpunca daripada terjatuh ketika mandi, namun kemudian mengaku melakukan penderaan semasa disoal siasat.Laporan bedah siasat awal turut mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala.Ketika disoal, wanita itu mendakwa bertindak demikian kerana bayi berkenaan kerap menangis dan sukar tidur.Dalam masa sama, polis turut mengambil keterangan bapa kanak-kanak tersebut sebagai saksi bagi menentukan sama ada wujud penglibatan atau kecuaian dalam kes berkenaan.Pihak berkuasa memaklumkan akan memohon waran bagi menahan wanita itu secara rasmi bagi membantu siasatan lanjut. -Agensi