SISA mayat seorang wanita ditemukan di dalam insinerator atau alat pembakar di pusat krematorium haiwan sebuah zoo di Hokkaido, Jepun.Susulan penemuan itu, suami mangsa iaitu Tatsuya Suzuki, 33, ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai dalang di sebalik pembunuhan kejam mangsa. Berdasarkan laporan, Tatsuya membawa mayat isterinya iaitu Yui Suzuki, 33, ke Zoo Asahiyama di Hokkaido sebelum memasukkan jasad mangsa ke dalam alat pembakar tersebut pada 31 Mac lalu.Bagaimanapun, polis masih menyiasat sama ada suspek turut membunuh mangsa atau turut melibatkan pihak lain.Kes pembunuhan tersebut terbongkar selepas ahli keluarga mangsa menghubungi polis pada 23 April lalu kerana gagal menghubungi Yui sejak penghujung Mac.Hasil soal siasat terhadap suspek membawa kepada pemeriksaan di krematorium berkenaan sebelum polis menemukan sisa-sisa tubuh mangsa.Dalam pada itu, sumber memaklumkan, Suzuki merupakan penjaga haiwan di zoo berkenaan.Zoo Asahiyama merupakan antara lokasi tarikan popular di Jepun yang menerima kunjungan pelancong dari seluruh negara, dengan kira-kira 1.33 juta pengunjung direkodkan dalam tempoh 12 bulan sehingga Mac lalu.Zoo tersebut yang ditutup sementara bagi persiapan musim panas sepatutnya dibuka semula pada Rabu, namun pembukaannya ditangguhkan ke Jumaat susulan siasatan polis yang masih berjalan. -Agensi