SEORANG wanita kini bertarung nyawa selepas dipercayai dirogol sebelum wajahnya dicederakan menggunakan senjata tajam dalam kejadian pada Isnin.Mangsa berusia 30 tahun itu dilaporkan keluar untuk mandi di Sungai Sapua yang terletak berhampiran rumahnya sebelum gagal pulang, sekali gus mencetuskan kebimbangan ahli keluarganya. Keluarga mangsa kemudiannya memulakan pencarian sebelum mangsa ditemukan oleh seorang penggembala lembu dalam keadaan parah dalam kejadian di Dhenkanal, Odisha, India.Penduduk kampung yang dimaklumkan mengenai kejadian itu segera bergegas ke lokasi bagi menyelamatkan mangsa.Menurut laporan NDTV, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital dan Kolej Perubatan SCB di Cuttack dalam keadaan kritikal untuk menerima rawatan lanjut.Seorang pegawai hospital memaklumkan mangsa kritikal akibat kehilangan banyak darah dan perlu menjalani pembedahan.Susulan laporan dibuat keluarga mangsa, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376, 307 dan 326.Ketua Polis Daerah, Abhinav Sonkar berkata, suspek telah dikenal pasti menerusi pemantauan teknikal serta bantuan pemberi maklumat, selain tiga pasukan khas ditubuhkan bagi mengesannya.Menurut penduduk tempatan, suspek dipercayai berasal dari kampung yang sama dan mempunyai sejarah berkelakuan tidak senonoh sebelum ini.Bagaimanapun, suspek masih melarikan diri dan sedang diburu pihak polis.Berikutan itu, penduduk mengadakan protes di sebuah pasar di Bhapur pada Selasa bagi menuntut suspek segera ditahan dan dibawa ke muka pengadilan.