SEORANG lelaki ditahan polis selepas disyaki membunuh bekas teman wanitanya bersama ibu mangsa dalam satu kejadian kejam di Izumi, Osaka, Jepun bulan lepas.Suspek berusia 51 tahun yang ditahan pada Jumaat lalu mengaku membunuh wanita berkenaan, selain memberi bayangan turut terlibat dalam kematian ibu mangsa. Menurut polis, mangsa, Yuka Murakami, 41, yang bekerja sebagai pekerja sosial hospital, serta ibunya, Kazuko, 76, ditemukan maut di kediaman mereka pada 8 April lalu.Kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh dengan kejam apabila mengalami lebih 12 kesan tikaman, termasuk di bahagian leher, kepala dan belakang badan, selain terdapat tanda-tanda cuba mempertahankan diri.Mayat mereka ditemui oleh seorang ahli keluarga lelaki selepas menerima panggilan daripada tempat kerja Yuka yang memaklumkan wanita itu tidak hadir bertugas.Ketika ditemui, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan berpakaian tidur, dengan ibu mangsa ditemui di ruang tamu manakala Yuka berhampiran dapur.Hasil siasatan awal mendapati pintu rumah tidak berkunci selain terdapat kesan tapak kaki berdarah di kawasan pintu masuk, namun tiada barangan berharga dilaporkan hilang.Bedah siasat menganggarkan mangsa dibunuh sekitar pukul 4 pagi.Rakaman kamera papan pemuka kereta milik Yuka menunjukkan dia pulang ke rumah kira-kira pukul 5.40 petang sehari sebelum kejadian.Selain itu, rakaman kamera keselamatan turut merakam kelibat seorang lelaki menyerupai suspek berada berhampiran kediaman mangsa pada awal pagi hari kejadian.Polis turut mendedahkan suspek yang merupakan seorang penganggur mengaku menikam mangsa berkali-kali menggunakan pisau yang dibawanya sendiri.Siasatan lanjut mendapati suspek dan mangsa pernah menjalin hubungan selama lebih lapan tahun sebelum berpisah sekitar Mac lalu.Difahamkan, suspek juga mempunyai hutang kira-kira 1.5 juta yen (kira-kira RM38,000) dengan mangsa, yang dipercayai menjadi antara motif kejadian. -Agensi