Kekurangan tenaga kerja dan doktor pakar menjadi antara faktor sesetengah hospital menolak untuk menerima pesakit. -Gambar hiasan
SEORANG wanita yang hamil 29 minggu dilaporkan kehilangan kandungannya selepas menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan kecemasan apabila enam hospital berdekatan enggan merawatnya.Menurut pihak berkuasa bomba, wanita tersebut pada mulanya dimasukkan ke sebuah klinik obstetrik di Cheongju, wilayah Gyeongsang Utara, Korea Selatan, pada 1 Mei lalu selepas mengalami pendarahan. Klinik berkenaan kemudian menghubungi talian kecemasan 119 sekitar pukul 11 malam apabila kadar denyutan jantung janin didapati semakin menurun.Bagaimanapun, usaha untuk memindahkan wanita itu ke hospital lain berdepan halangan apabila enam hospital menolak permintaan tersebut, antaranya disebabkan kekurangan pakar. Dia akhirnya diterbangkan sejauh kira-kira 280 kilometer ke Hospital Universiti Donga di Busan menggunakan helikopter, kira-kira tiga jam setengah selepas panggilan kecemasan dibuat.Malangnya, janin dalam kandungan wanita itu tidak dapat diselamatkan, namun dia dilaporkan stabil.Kes penolakan pesakit dilaporkan semakin kerap berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh masalah kekurangan tenaga kerja yang berpanjangan serta kebimbangan petugas kesihatan terhadap risiko dikenakan tindakan jenayah sekiranya pesakit meninggal dunia di bawah jagaan mereka.Menurut pelbagai kajian, doktor di Korea Selatan berdepan pendakwaan atas kecuaian perubatan yang lebih tinggi berbanding negara maju lain, sekali gus memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan. -Agensi