Keadaan motosikal dan kereta yang terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Ampang, awal pagi Sabtu. -Foto media sosial
SEPASANG suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk, awal pagi Sabtu.Dalam kejadian di Jalan Ampang berhampiran Menara Great Eastern, kira-kira pukul 5.34 pagi itu, pasangan yang menunggang motosikal jenis Honda Wave Alpha maut di tempat kejadian akibat kecedaraan parah. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang motosikal ditunggang pasangan suami isteri terbabit.ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai tentera disyaki mabuk rempuh Alza e-hailing… Pengantin lelaki baru kahwin maut di tempat kejadian"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan berusia 61 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian."Pembonceng yang juga isterinya berusia 56 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi sama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Menurutnya, pemandu kereta terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini masih menerima rawatan di Zon Merah Hospital Kuala Lumpur.Sementara itu, dua lagi penumpang kereta masing-masing berusia 23 tahun dan 24 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.Menurut beliau, siasatan turut mendapati kesemua individu yang berada di dalam kereta berkenaan adalah rakan.Ujarnya, sampel darah dan air kencing pemandu juga telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.