SEORANG lelaki warga Bangladesh maut manakala isterinya parah selepas kenderaan e-hailing yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Ford Fiesta dari arah bertentangan.Difahamkan, kedua-dua mangsa yang berusia 22 dan 20 tahun, baru mendirikan rumah tangga dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke ibu negara. Kejadian yang dilaporkan berlaku di Kilometer 1.9 Lebuhraya Maju Expressway (MEX), pada awal pagi Khamis itu turut mengakibatkan pemandu e-hailing serta penumpang Ford Fiesta mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku pada pukul 5.38 pagi dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.Ujar beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila Ford Fiesta yang dipandu seorang pegawai tentera lelaki berumur 31 tahun dipercayai memasuki laluan bertentangan.Situasi tersebut menyebabkannya bertembung secara berhadapan dengan e-hailing yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun."Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah MPV jenis Perodua Alza yang merupakan e-hailing dan sebuah kereta jenis Ford Fiesta."Pada masa tersebut, pemandu e-hailing sedang bergerak lurus di lorong kiri. Akibat perlanggaran tersebut, penumpang lelaki warga Bangladesh disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala."Isterinya mengalami kecederaan pada anggota badan dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur," ujarnya dalam kenyataan pada Khamis.Tambah Mohd Zamzuri, hasil ujian pernafasan (saringan alkohol) ke atas pemandu Ford Fiesta mendapati bacaan melebihi had yang dibenarkan.Susulan itu katanya, dia ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020), iaitu kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian kepada orang lain.